Cari @ Amanz

Kamera web yang digunakan pada komputer riba sekarang secara majoritinya boleh diklasifikasikan sebagai kamera kentang. Pada MacBook Pro yang mahal sekalipun ia sekadar menyokong resolusi tertinggi 720P. Pandemik mendedahkan keperluan kamera web yang berkualiti tinggi untuk tujuan kerja dan hasilnya Dell UltraSharp Webcam dilancarkan.

Kamera web ini menyokong resolusi sehingga 4K menggunakan sensor 8.3 MP CMOS Sony STARVIS. Menerusi perisian tersendiri isu video yang gelap diselesaikan dengan sokongan video HDR dan menerangkan visual secara automatik. Ini menurut Dell akan membolehkan pengguna kamera web ini menikmati visual seperti sebuah DSLR.

Dengan kecerdasan buatan pula, kamera boleh memastikan pengguna sentiasa difokus dengan betul dan berada di tengah-tengah bingkai walaupun mereka bergerak-gerak. Sekiranya kamera tidak diletakkan dengan betul, lensa kamera akan berubah ke sudut ultra-lebar untuk memastikan subjek tidak terpotong. Sokongan zum digital sehingga 5X turut diberikan.

Keseluruhan kamera diperbuat daripada bahan aluminium yang premium dengan tubuh berbentuk silinder. Terdapat tripod sekiranya pengguna ingin meletakkan Dell UltraSharp Webcam di kedudukan yang lebih baik dari di atas monitor. Kepada pengguna komputer Dell, ia turut serasi dengan sistem pengecaman wajah bagi membolehkan komputer dinyahkunci tanpa perlu menaip kata kekunci. Dell UltraSharp Webcam ditawarkan pada harga RM1,112 sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd