Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai pengelola storan awanan, tiga daripada nama terbesar yang anda pasti sekurang-kurangnya pernah dengari termasuklah Amazon, Google dan Microsoft. Ketiga-tiga syarikat ini boleh dikatakan mengendali data mesin pelayan dan awanan untuk semua syarikat-syarikat kecil dan besar di seluruh dunia.

Gabungan yang anda pastinya terkejut untuk dengari ialah Apple dan Google, dimana baru-baru ini, ia dilaporkan bahawa syarikat yang berasas di Cupertino tersebut merupakan pelanggan perkhidmatan data awanan terbesar Google pada tahun ini.

Berbanding tahun lepas, perbelanjaan Apple dilihat meningkat sebanyak 50 peratus, yang mana nilai perbelanjaan tersebut adalah sebanyak $500 juta (~RM2 bilion) dan jumlah storan yang dilanggan daripada Google dilihat setinggi 8 exabyte setahun.

Untuk memperlihatkan skala perbezaan diantara tempat pertama dan tempat kedua, yang dipegang oleh ByteDance, syarikat teknologi dari China tersebut dilihat melanggan sebanyak 500 petabyte storan awanan Google Cloud, 16 kali lebih sedikit berbanding apa yang diperlukan oleh Apple.

Lebih menarik lagi, langganan storan awanan Apple dikatakan sangat besar, sehinggakan pihak yang bertanggungjawab mengendali klien tersebut memberikan kod nama “Bigfoot” untuk Apple kerana keperluan storan mereka yang sangat tinggi.

Malah, mesin-mesin pelayan yang menyimpan data Apple semuanya disulitkan menggunakan kunci kriptografi khas yang dibangunkan oleh Apple sendiri, menjadikannya mesin-mesin pelayan Apple sendiri yang diuruskan oleh Google.

Laporan The Information turut mengatakan bahawa Apple menggunakan perkhidmatan storan awanan Google Cloud kerana keperluan data semasa Apple meningkat lebih pesat berbanding kebolehan syarikat tersebut untuk membawa masuk storan mereka sendiri.

Sumber: The Information

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd