Ciri Alih Bahasa Pada Tajuk Dan Deskripsi Video YouTube Mula Diedarkan, Turut Menyokong Bahasa Melayu

Diterbitkan pada July 1, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bulan lepas, YouTube mula menguji kemampuan tajuk dan deskripsi video diterjemah kepada bahasa yang digunakan secara lalai pada sistem peranti. Ciri ini dilihat diedarkan melalui ujian A/B dan ketika kami laporkannya, tajuk dan deskripsi video hanya menyokong Inggeris ke Portugis dan Sepanyol dan Turki sahaja. Ciri ini turut memaparkan ikon Google Translate untuk melihat kembali bahasa asal yang ditetapkan oleh setiap saluran YouTube.

Terkini, ciri ini dilihat mula diedarkan kepada pengguna di Malaysia. Lebih menarik lagi, ia turut menyokong bahasa Melayu jika peranti ditetapkan kepada bahasa ini. Walau bagaimanapun, tidak semua video dan saluran akan memaparkan sokongan ini dan hanya segelintir sahaja. Kemudian disebabkan ciri transkripsi Google tidak menyokong bahasa Melayu, ia akan kekal dengan bahasa Inggeris atau mengikut fail sari kata yang setiap saluran telah tetapkan.

Kekurangan pada ciri ini adalah, ia tiada ikon Google Translate. Jadi pada awalnya, kami berasa agak aneh dengan video-video daripada saluran YouTuber Amerika Syarikat memaparkan bahasa Melayu. Terjemahan juga dilihat hanya terpapar di skrin utama YouTube dan apabila dicari dalam saluran, bahasa Inggeris akan dipaparkan dahulu sebelum video ditekan untuk tonton – barulah bahasa Melayu dipaparkan.

Ciri ini dilihat hadir pada kedua-dua peranti Android dan iOS. Cuma pada iOS, ciri auto-main video di skrin utama kini memaparkan ikon pembesar suara untuk membisukan video atau terus aktifkan paparan transkripsi. Pada iOS 15, ikon ini hanya terpapar sahaja dan tidak boleh ditekan lagi. Ia adalah seakan Facebook, yang membolehkan anda bisukan video sambil menatal.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami