PBB Mengesahkan Benua Antartika Mencatatkan Suhu Tertinggi 18.3 Celcius Pada Musim Panas 2020

Diterbitkan pada July 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Isu pemanasan global adalah isu yang sering diperkatakan sejak berdekad yang lalu. Pemesatan tamadun manusia yang rata-ratanya memberikan kita hidup yang lebih selesa sedikit sebanyak memberi kesan yang buruk kepada ekologi planet Bumi.

Terkini, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan bahawa benua Antartika mencatatkan suhu tertinggi setakat ini, iaitu 18.3 darjah Celcius pada tahun lepas. Suhu tersebut dicatatkan pada 6 Februari 2020 oleh pusat penyelidikan Esperanza milik Argentina di semenanjung Antartik.

Rekod suhu tertinggi yang dicatatkan sebelum ini oleh pusat penyelidikan yang sama ialah 17.5 darjah Celcius, yang mana ia disahkan bahawa benua Antartika ialah salah satu kawasan yang paling pesat peningkatan suhunya, yang mana ia telah mencatatkan peningkatan suhu 3 darjah Celcius dalam lingkungan masa 50 tahun sahaja.

Kepentingan pencatatan suhu di benua Antartika ialah penting untuk memperlihatkan julat suhu dunia, disamping membuat unjuran tentang iklim dunia. Isu seperti kenaikan paras air, perubahan iklim, kedahsyatan bencana alam dan sebagainya dapat dikaji dan diselidik supaya kita dapat bersiap-sedia untuk skala bencana yang lebih tinggi.

Sebagai perbandingan, purata suhu benua Antartika secara lazimnya adalah dalam julat -60 ke -10 darjah Celcius, jadi peningkatan suhu ke 18.3 darjah Celcius ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang sangat serius kerana jika ia berlaku dengan lebih kerap, permafrost, ataupun lapisan ais kekal boleh pecah, cair dan menyebabkan kenaikan paras laut, yang mana sudahpun banyak dilihat sebelum ini, khususnya di kutub utara.

Pihak World Meteorological Organization mengatakan lagi bahawa peningkatan suhu benua Antartika sebanyak 2 darjah Celcius lagi akan menyebabkan kenaikan paras laut dunia setinggi 13 meter, yang akan menenggelamkan lebih banyak lokasi di seluruh dunia.

Isu dengan kenaikan suhu global dan kutub utara dan selatan ini bukanlah jika ia akan membelenggu kehidupan di dunia, tetapi bila. Kerakusan manusia dalam penarahan pelbagai sumber alam, ditambah dengan penggunaan tenaga fosil yang menyebarkan karbon monoksida ke lapisan atmosfera adalah diantara penyebab utama kenaikan suhu dan perubahan iklim ini semakin mendadak.

Sumber: Yahoo News

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami