Cari @ Amanz

Twitter pada tahun 2021 berbeza dengan perkhidmatan asal yang dilancarkan Jack Dorsey pada tahun 2006. Evolusi diperlukan bagi membolehkan ia bersaing dengan platform lain dengan ciri-ciri yang seakan serupa antara satu sama lain. Tetapi kini Twitter mula berkongsi beberapa konsep ciri baharu yang agak unik untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih menarik.

Ciapan konsep-konsep ini dikongsi oleh @a_dsgnr seorang pereka di Twitter. Ciri pertama yang menarik ialah ciapan yang hanya boleh dilihat oleh sekumpulan rakan-rakan terpilih. Pengguna hanya perlu memasukkan teman rapat ke dalam senarai dan ciapan yang dihantar kemudian dihadkan kepada mereka sahaja. Dengan ciri ini masalah orang menyampuk perbualan antara rakan-rakan boleh dielakkan.

Konsep kedua ialah menyaring ciapan balas yang mengandungi kata-kata makin atau tidak disenangi. Twitter akan mempunyai senarai perkataan yang dikategorikan sebagai makian. Pengguna kemudian boleh memasukkan sendiri perkataan yang tidak diingini. Semua ciapan balas yang mengandungi perkataan-perkataan ini akan diletakkan di senarai paling bawah atau kemudiannya dibisukan selepas melakukannya sebanyak dua kali.

Seterusnya ialah ciri Facet yang membolehkan ciapan dikelaskan kepada keperluan tertentu. Setiap akaun boleh mempunyai beberapa kelas yang ditetapkan sendiri oleh pengguna. Ciapan berkenaan kerja, pendapat profesional, pendapat peribadi dan untuk keluarga boleh dipisahkan kepada kelas berasingan.

Pengikut kemudiannya boleh memilih untuk hanya melihat ciapan dari kelas kerja sahaja misalnya. Untuk melihat ciapan peribadi mereka perlu memohon untuk melihatnya. Dengan ciri ini isu pengikut marah apabila artis berkongsi pendapat politik dapat dielakkan kerana mereka tidak memilih untuk melihatnya.

Kesemua ini masih lagi sekadar konsep tetapi mempunyai potensi menarik yang sangat kami mahukan sebagai insan yang banyak menghabiskan masa menggunakan Twitter.

Sumber Techcrunch

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd