Realme kini mengembangkan lagi portfolio produknya dengan memperkenalkan beberapa barangan keperluan pengguna seperti pengering rambut dan pencukur janggut. Melaluinya, mereka telah memperkenalkan Realme Hair Dryer, Realme Beard Trimmer dan Realme Beard Trimmer Plus untuk pasaran India.
Realme Hair Dryer hadir dengan reka bentuk minimalis bersama pilihan bewarna putih. Ia kemudiannya dilengkapi dengan motor 1400W dan kipas yang menghasilkan udara sepantas 13.8m/s. Bagi mereka yang bimbang akan kerosakan rambut, Realme Hair Dryer boleh beroperasi pada suhu 55°C dan kebawah.
Selain itu, ia juga disertakan tiga lapisan pelindungan rambut dan teknologi Ion bertujuan memastikan rambut yang kusut dapat dikurangkan untuk penjagaan lebih mendalam. Dalam pada itu, Realme Hair Dryer juga dikatakan mampu mengeringkan rambut yang panjang dalam hanya 5 minit – yang mana didakwa lebih cepat berbanding pengering rambut sedia ada yang memakan masa mencapai 10 minit.
Realme Beard Trimmer dan Realme Beard Trimmer Plus pula merupakan pencukur janggut daripada Realme. Kedua-duanya dilengkapi sikat yang boleh dilaras sehingga 10mm. Tetapi, sedikit kelebihan diberikan untuk versi plus yang didatangkan dengan tambahan 20mm sebagai lebih pilihan untuk proses pemotongan. Bukan itu sahaja, versi plus juga dilengkapi sehingga 40 tetapan berkunci berbanding versi standard yang hanya mempunyi 20 tetapan sahaja.
Seterusnya, Realme Beard Trimmer Plus mempunyai penarafan kalis air IPX7, sementara itu Realme Beard Trimmer pula mempunyai bila yang boleh dibasuh. Dengan bateri 800mAh, kedua-duanya mampu beroperasi sehingga 120 minit lamanya dengan penggunaan kerap. Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai sokongan lampu LED yang bewarna bertujuan sebagai penunjuk baki bateri pada mesin pencukur berkenaan.
Untuk harga, Realme Hair Dryer dan Realme Beard Trimmer Plus masing-masing dijual pada harga Rs.1,999 (~RM111). Sementara itu, Realme Beard Trimmer pula berharga Rs.1,299 (~RM72). Buat masa ini, masih belum ada sebarang informasi mengenai ketersediaannya untuk pasaran tempatan.
Sumber : Realme India