Carian
Facebook, Google, TikTok dan Twitter Memberikan Komitmen Menentang Pelecehan Terhadap Wanita Di Atas Talian
July 2, 2021 Effi Saharudin

Menjadi wanita ini susah. Apabila terlalu berkeras dikatakan ingin menjadi jantan. Terlalu lembut pula kepala dipijak dan dikatakan tidak cukup tegas seperti seorang lelaki. Di media sosial pelecehan terhadap wanita dapat dilihat setiap hari dengan isu besar seperti penghantaran imej ancaman bunuh, rogol dan imej lucah menjadi lumrah hidup. Kerana isu semakin serius, Facebook, Google, TikTok dan Twitter hari ini mengumumkan komitmen menentang pelecehan terhadap wanita di platform mereka.

Pengumuman diberikan ketika Forum Kesetaraan Generasi PBB (Generation Equality Forum) yang berlangsung di Paris semalam. Antara komitmen yang diberikan empat gergasi Internet ialah membina sistem yang lebih baik bagi memberikan kuasa kepada pengguna wanita mengawal keselamatan mereka dan memperbaiki sistem laporan apabila mengalami pelecehan di atas talian.

Antara yang akan dilakukan bagi memastikan keselamatan di atas talian ialah

  1. Kawalan lebih terperinci kepada siapa yang boleh melihat, berkongsi, komen dan menjawab kandungan yang dimuat naik di atas talian
  2. Menggunakan bahasa lebih mudah difahami pada tetapan sedia ada
  3. Memudahkan lagi proses navigasi ke sistem keselamatan sedia ada untuk
  4. Mengurangkan beban ke atas pengguna dengan sistem yang lebih proaktif

Penambahbaikan kepada sistem laporan pula adalah

  • Memberikan pengguna kemampuan menjejak dan menguruskan laporan yang telah difailkan.
  • Menambah kapasiti untuk memberikan konteks dan bahasa ketika melapor.
  • Memberikan lebih banyak polisi dan bantuan apabila melaporkan pelecehan
  • Menambah cara lain untuk wanita mengakes bantuan dan sokongan semasa proses melaporkan pelecehan

Kesemua komitmen yang diberikan oleh Facebook, Google, TikTok dan Twitter ini adalah berdasarkan saranan yang 120 pakar teknologi, ahli akademik dan wakil kerajaan dari 35 negara yang menyertai bengkel keselamatan Yayasan World Wid Web sebelum ini.

Sumber WebFoundation

Komen