Banyak jenama jam tangan mewah tidak menawarkan jam tangan pintar. Bagi mereka sistem jam mekanikal dengan tourbilon adalah jauh lebih baik berbanding jam elektronik. Tetapi penggunaan jam tangan pintar kini semakin perlu seperti sebuah telefon pintar. Bagi pengguna Apple Watch yang inginkan jam mereka ingin kelihatan seperti jam tangan mewah ia boleh dilakukan dengan menggunakan kerangka keluaran Golden Concept.

Firma dari Sweden ini menawarkan beberapa kerangka yang mirip rekaan jam tangan mewah yang dipakai menteri di Malaysia. Bagi mencapai tahap kemewahan yang sama, kerangka Golden Concept diperbuat daripada bahan titanium serta gentian karbon sementara tali pula daripada bahan getah. Walaupun kerangka digunakan, kesemua ciri Apple Watch seperti tombol berputar masih boleh diakses.

Kerangka Golden Concept dihasilkan untuk Apple Watch Series 2 ke atas dengan saiz 40 dan 44mm. Harga jualan bermula dari $699 (~RM2919) untuk model asal dan meningkat ke $1899 (~RM7906) untuk model yang lebih premium.