Rekaan Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Bertemakan Godzilla Oleh MSI Tertiris

Diterbitkan pada July 5, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kolaborasi syarikat pembangun komponen dan jenama gaming/filem bukanlah sesuatu konsep yang baru, malah kebelakangan ini, kita boleh melihat bahawa ia semakin sering dilakukan, khususnya apabila memperlihatkan kolaborasi media popular seperti Cyberpunk 2077 dan juga Mobile Suit Gundam.

MSI juga dilihat bakal bekerjasama dengan Toho Inc., pemilik lesen disebalik jenama Godzilla, yang biasa dikenali sebagai siri filem raksasa yang dipopularkan sejak era 1950an oleh syarikat perfileman Jepun tersebut yang kemudiannya tersebar ke Amerika Syarikat juga.

Beberapa gambar rekaan kad grafik yang dikenali sebagai MSI GeForce RTX 3070 SUPRIM SE x GODZILLA telah tertiris ke arena web, yang mana ia hadir dengan bongkah penyejuk berwarna merah, dengan rekaan raksasa Godzilla di bahagian plat belakang kad grafik tersebut.

Menariknya, selain daripada rekaan kad grafik tersebut, beberapa butiran khusus mengenai kad grafik ini termasuklah kelajuan boost clock pada 1785MHz, TDP setinggi 240W, dan akan menggunakan asas kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 LHR yang hadir dengan perisian yang mengurangkan kadar melombong kriptowang Ethereum.

Laporan VideoCardz mengatakan bahawa kad grafik MSI GeForce RTX 3070 edisi Godzilla ini akan ditawarkan di pasaran Jepun terlebih dahulu, dan buat masa ini masih tiada pelan untuk membawanya ke pasaran-pasaran lain. Perkara sama berlaku kepada kolaborasi ASUS dan Mobile Suit Gundam, tetapi ia dilihat memasuki pasaran tempatan beberapa bulan selepas dilancarkan, jadi mungkin ada peluang ia akan ditawarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Sumber: VideoCardz

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami