Windows 11 bakal ditawarkan sebagai kemaskini dan naik-taraf percuma kepada pengguna Windows 10 sedia ada bermula awal 2022 kelak.
Seperti ramai sedia maklum, Windows 11 membawakan rekaan antaramuka baharu, serta beberapa perubahan bersama dengannya. Bagi anda yang sedia selesa menggunakan Windows 10, terdapat kebarangkalian yang anda mungkin memerlukan beberapa hari sebelum selesa dengan sistem operasi baharu ini.
Tetapi, bagaimana sekiranya anda tidak mengemarinya?
Pihak Microsoft, melalui FAQ mereka, menyatakan yang mana pengguna boleh turun-taraf ke Windows 10 dalam tempoh 10 hari selepas naik-taraf ke Windows 11. Ini sekaligus membolehkan anda mencuba terlebih dahulu Windows 11, dan sekiranya tidak selesa, anda boleh turun-taraf ke Windows 10 seperti sebelum ini.
Langkah ini mungkin membuatkan lebih ramai yang ingin mencuba Windows 11 tanpa risau akan kehilangan akses ke sistem operasi sebelum ini.
Windows 11 dijangka diperkenalkan pada penghujung tahun ini, dan ditawarkan sebagai naik-taraf percuma kepada pengguna Windows 10 sedia ada bermula awal 2022 kelak.