Acer Nitro 5 Yang Dikuasakan CPU Intel Tiger Lake-H Dan Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 Akan Dijual Pada Harga Permulaan RM4799

Diterbitkan pada July 5, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada tahun ini, Acer telah melancarkan pelbagai siri komputer riba khusus untuk produktiviti dan juga riadah pada pelbagai jenis tanda harga bergantung kepada kemampuan dan keperluan pengguna. Diantara siri komputer riba yang cukup dikenali daripada Acer ialah siri Acer Nitro 5, yang mana ia lazimnya hadir dengan spesifikasi dan tanda harga yang lebih mampu milik.

Terkini, Acer telah mengemaskini model Nitro 5 mereka dengan gabungan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake-H dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 untuk mereka yang mahu menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi 1080p dan juga kadar segar semula yang tinggi.

Acer Nitro 5 ini hadir dengan paparan 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Dari segi komponen, ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i5-11400H Intel Core i7-11800H, memori sehingga 32GB dan storan SSD sebesar 512GB yang boleh dinaiktarafkan melalui satu lagi slot pengembangan storan M.2.

Dari segi grafik pula, Acer Nitro 5 dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 yang cukup bagus untuk menggerakkan sebarang permainan komputer moden pada resolusi Full HD dan kadar segar semula yang tinggi.

Acer Malaysia mengatakan bahawa dua model yang dikuasakan Intel Core i7 dan Intel Core i5 akan ditawarkan di pasaran tempatan bermula hari ini untuk model Intel Core i7 dan pada penghujung bulan ini untuk model Intel Core i5 pada harga-harga berikut:

  • Acer Nitro 5 (Intel Core i7) – RM5699
  • Acer Nitro 5 (Intel Core i5) – RM4799

Bagi mereka yang sedang mencari komputer riba baru ataupun aksesori-aksesori untuk digunakan, Acer Malaysia turut mengatakan bahawa pada jualan 7.7 kelak, mereka akan menawarkan komputer riba dan aksesori dengan diskaun sehingga 50 peratus bergantung kepada model yang ditawarkan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami