Penjejak kesihatan sudah lama ada di pasaran, tetapi rekaannya seringkali kekal lebih kurang sama dan semakin lama ia bosan dilihat. Disebabkan itu pengeluar produk seperti ini cuba menarik perhatian orang ramai dengan mengubah rekaannya ke bentuk jam. Melaluinya, mereka boleh mempromosikan produk ini sebagai seutas jam tangan pintar – walaupun hanya ada ciri dan fungsi asas daripada gelang tangan pintar.

Mobvoi tidak asing daripada produk seperti ini. Selepas menguji pasaran dengan TicWatch GTX, mereka hadir pula dengan TicWatch GTH – yang mempunyai sensor untuk imbas suhu kulit.
Spesifikasi
TicWatch GTH hanya ditawarkan dengan warna hitam yang mereka gelar Raven Black. Ia amat ringan dan ringkas, dengan kerangka daripada besi serta tali jam daripada bahan TPU. Sistem operasi yang dijalankan adalah RTOS, iaitu sistem operasi yang hanya digunakan untuk menjalankan sensor-sensor agar ia boleh dibaca secara masa nyata. Mobvoi menggunakan sedikit elemen Wear OS seperti pada kawalan gestur, talam tetapan pintas dan lain-lain.

Saiz skrin adalah 360×320 piksel daripada panel TFT, dijana dengan cip pemprosesan tersendiri, menggunakan sambungan Bluetooth 5.1, dilengkapi dengan sensor pemecut, sensor PPG untuk imbasan nadi dan membaca kadar oksigen dalam darah, serta yang paling unik mempunyai sensor untuk membaca suhu kulit. TicWatch GTH turut menyokong perlindungan air 5 ATM dan boleh dibawa berenang, bateri 260mAh dengan masa pengecasan 2 jam.
Adakah Ia Menarik Untuk Digunakan?
Apabila sudah lama berkecimpung dalam dunia Wear OS, Mobvoi ingin bersaing dengan pengeluar peranti lain yang menawarkan lebih banyak pilihan peranti boleh pakai. Tetapi sayang sekali, penggunaan RTOS ini bukanlah sesuatu yang terbaik. Saya kongsi terlebih dahulu pengalaman penggunaan sistem operasi ini, yang mana ia terlampau asas dan tidak layak digelar jam tangan pintar. Ia juga tidak layak digelar sebagai jam tangan pintar asas, kerana ia benar-benar hanyalah penjejak kesihatan.

Sistem yang digunakan oleh Mi Smart Band 6 oleh Xiaomai adalah jauh lebih baik dan berkuasa. Antaranya adalah font yang digunakan yang pecah-pecah atau pixelated, resolusi skrin yang tidak cantik, kawalan gestur yang kadangkala tersangkut-sangkut, serta proses penggunaan antara aplikasi dan jam yang perlahan dan menjengkelkan.

Walaupun begitu, sistem yang asas ini juga kadangkala memudahkan pengguna – lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru ingin menggunakan produk seperti ini. GTH lebih kepada TicWatch GTX yang lebih kecil dan sedikit lebih lemah, tetai masih lebih baik daripada Mi Watch Lite dan tidak cukup hebat daripada Mi Smat Band 6. Pening bukan? Itulah apa yang boleh disampaikan pengalaman penggunaan produk ini.

Ciri dan fungsi asas pada produk ini semuanya berfungsi dengan baik sekali. Imbasan nadi datanya ada sedikit beza +- 2-3, membaca kadar oksigen dalam darah juga lebih kurang sama dengan kebanyakan data lain, penjejakan tidur juga boleh diterima. Keunikan jam ini adalah ia mempunyai sensor imbasan suhu kulit terbina jika anda ingin tahu apakah suhu kulit anda. Data suhu ini dilihat cukup baik dan normal, apabila dibandingkan dengan termometer digital.

Cuma ia adalah satu penggunaan yang tidak diminta ramai dan hanya segelintir sahaja akan menggunakannya.
Bateri
Bateri adalah kekuatan pada produk seperti ini. TicWatch GTH ini mendakwa mempunyai ketahanan sehingga 10 hari, yang mana boleh kami sahkan. Sepanjang penggunaan sekitar beberapa bulan ini, bateri jam ini tidak ada masalah pun untuk bertahan sehingga 14 hari.
Cuma masa pengecasan yang gila perlahan adalah satu perkara yang amat menjengkelkan.
Apa Boleh Buat Dengan Aplikasinya?
Aplikasi Mobvoi yang digunakan adalah versi 4.0, iaitu versi terkini. Aplikasi ini walaupun baik-baik sahaja, seperti antaramuka yang mesra penggunam mudah digunakan, rekaan yang ringkas serta banyak data dalam bentuk cards dipaparkan – ia masih lagi tidak mesra dengan RTOS. Kerana aplikasi ini pada Wear OS tidak ada masalah, tetapi pada jam ini ada sedikit masalah seperti muka jam yang lambat diselarikan, kadangkala sambungan terputus dan kadangkala apa yang ditekan pada aplikasi lambat dikesan oleh GTH.

Dengan Mobvoi yang semakin aktif dengan pengguna mereka melalui komuniti mereka, aplikasi ini juga kini ada ciri media sosial seperti menambah rakan untuk melihat status kecergasan masing-masing atau juga mencabar seseorang mencapai tahap yang sama.
Pesaing
Mi Smart Band 6 | TicWatch GTH | Oppo Band | |
Skrin | 1.56-inci, AMOLED 152 x 486 piksel | 1.55-inci, TFT 360 x 320 piksel | 1.10-inci, AMOLED 126 x 294 piksel |
Sistem Operasi | Tersendiri | RTOS | Tersendiri |
Perlindungan Air | 5ATM | Boleh dibawa Berenang 5ATM | 5ATM |
Bateri | Sehingga 14 hari | 260mAh Sehingga 10 hari | 100mAh Sehingga 12 hari |
Sensor | Sensor IMU 6-paksi, pemecut, giroskop, imbasan nadi optikal | Sensor pemecut, sensor PPG imbasan nadi SpO2 Sensor suhu kulit | Sensor 3-paksi pemecut , imbasan nadi optikal SPO2 |
Pengecasan | Dermaga magnetik | Dermaga tersendiri | |
Harga | RM189 Terkini | RM325 | RM159 |
Kesimpulan
TicWatch GTH dijual d Malaysia pada masa yang tidak sesuai, kerana sudah ada banyak pilihan lain yang lebih hebat. Tetapi sekurang-kurangnya, produk ini memberikan pengalaman berkali ganda lebih baik daripada Oppo Band. Mobvoi cuba menari perhatian orang ramai dengan sensor suhu kulit mereka, tetapi ia adalah satu ciri yang tidak ramai pandang pun.

Harga jualan RM325 adalah agak mahal sebenarnya. Sudahlah tiada GPS, pilihan muka jam yang tidak begitu menarik, sistem operasi yang terlampau asas, serta tidak mempunyai banyak pilihan warna atau aksesori tambahan rasmi ditawarkan. Dengan Amazfit yang semakin gila aktif, Realme menawarkan lebih banyak pilihan, dan banyak lagi. TicWatch GTH adalah produk yang hanya akan diminati dalam kelompok kecil sahaja.
Apa yang boleh diharapkan adalah TicWatch baharu dengan Wear OS akan datang, mereka terus integrasikan sensor suhu kulit ini agar ia lebih disedari oleh orang ramai akan kewujudannya.
Pro
- Ada sensor suhu kulit yang unik.
- Walaupun sistem operasi asas, ia masih lancar.
- Ringan di tangan dan ada lagi pilihan penjejak kesihatan dalam bentuk jam
- Kadar bacaan data yang boleh diterima pada harga jualan
Kontra
- Font pada sistem operasi yang pixelated
- Masa pengecasan yang lambat
- Aplikasi dan jam yang tidak begitu mesra, lambat muka jam diselarikan
- Harga sedikit mahal

- Muat Turun
- Beli TicWatch GTH Di Shopee