Cari @ Amanz

Ulasan Suunto 9 Peak – Jam Tangan Pintar Asas Bangsawan

Link Copied!

SUUNTO sudah lama berada dalam industri penjejak kesihatan. Mereka pakar dalam jam-jam untuk sukan, alatan untuk membaca data dalam air, pelbagai jenis kompas, sensor-sensor jitu dan banyak lagi. Produk mereka juga bukanlah mampu milik, tetapi berada dalam kategori premium dan mempunyai sasaran pengguna tertentu. Suunto 9 Peak adalah antara jam baharu mereka yang turut mempunyai ciri jam tangan pintar asas dalam sebuah pakej jam yang kelihatan mewah dan bergaya.

Jam ini sudah tiba di makmal Amanz dan kami telah mengujinya untuk menilai sama ada adakah ia sesuai digunakan oleh pengguna biasa atau masih lagi terhad? Kemudian adakah ciri jam tangan pintar produk ini menepati citarasa semua?


Spesifikasi

Agak aneh apabila peranti boleh pakai ini bangga mereka mempunyai ciri kemaskini OTA dan menekankan sokongan ini pada pengguna mereka. Selepas saya semak, selama ini produk Suunto memerlukan kabel dan komputer untuk mengemaskini perisian. Kemudian jika anda lihat spesifikasi penuh jam ini, ia menggunakan bahan binaan kaca nilam dan kerangka titanium gred 5. Ia adalah bahan binaan premium, kukuh dan tahan lasak.

Jam ini juga padat dengan pelbagai sensor menarik termasuk kompas, termometer, GPS, altimeter, imbasan nadi, menyemat kadar oksigen dalam darah dan banyak lagi. Suunto 9 Peak ini juga boleh ditambah aksesori lain melalui Bluetooth seperti sensor imbasan nadi yang lebih jitu. Untuk penggunaan lebih lasak, ia turut mempunyai perlindungan kalis air 100m.

GPS pada jam ini mampu bertahan sehingga maksimum 170 jam dan penggunaan biasa mencapai 14 hari. Terdapat 80 mod sukan terbina, tali jam adalah jenis silikon bersaiz 22mm standard dan jam ini menggunakan pak pengecas bermagnet yang agak mudah untuk digunakan.

Rekaan jam ini juga ringkas dan minimal. Berbentuk bulat, skrin adalah jenis LCD resolusi rendah, dan turut ada lampu untuk menerangkan sedikit skrin. Di sisi jam terdapat tiga butang kawalan yang enak ditekan, kerana skrin sentuhannya tidak begitu sensitif.

Khusus Untuk Yang Aktif Bersukan

Semasa awal menerima jam ini, pandangan pertama untuk rekaan membuatkan saya teruja. Ia sememangnya terasa seperti seutas jam bangsawan. Selesa di tangan, kelihatan premium, elegan dan minimal. Sayang sekali, sebaik saya hidupkan jam ini dan melihat kualiti skrin, sistem, proses tambatan dan lain-lain yang asas apabila ingin menetapkan jam tangan pintar – saya terus tepuk dahi dan kecewa.

Suunto 9 Peak

Jika carta kegembiraan itu sedang mencanak tinggi, ia terus jatuh ke bawah. Sistem jam ini terlampau asas, skrin sesentuh sangat lengah masa, setiap tatalan perlu tunggu peralihan animasi bergerak dari satu bahagian ke bahagian lain, proses kemaskini yang sangat perlahan, dan juga memberikan satu pandangan awal yang negatif.

Tetapi, khusus untuk Suunto saya cuba tenangkan diri dan membuat sedikit kajian untuk lebih mengenali produk ini – memang ini adalah identiti Suunto. Mereka tidak fokus pada perisian yang lancar, antaramuka yang cantik atau yang terkini seperti Amazfit, Mobvoi, atau jam-jam lain. Sebaliknya ia mempunyai ciri seakan Coros dan Garmin.

Antaramuka yang lebih asas tetapi masih boleh memaparkan data yang cukup baik. Sistem operasi yang ringkas, tetapi semua fungsi dan ciri masih boleh digunakan dengan hebat dan jitu serta jika skrin sesentuh lengah masa – seperti saya katakan tadi butang fizikal pada jam ini sangat memuaskan.

Pengalaman penggunaan awal ini memberi satu pengalaman baru untuk saya. Disebabkan aktiviti luar masih lagi terhad banyak perkara menarik pada jam ini tidak dapat saya uji. Tetapi saya akan kongsi apa yang boleh dan jangkaan saya jika jam ini digunakan secara berpanjangan.

Perkara pertama saya uji adalah GPS, kerana tidak banyak peranti boleh pakai dengan GPS yang baik boleh didapati. Saya lancarkan jam, dan ia boleh aplikasi yang sepatutnya mengejutkan ia dapat menjejak lokasi saya dengan tepat. Lebih menarik pada aplikasi, ia boleh mencari kawasan yang sesuai untuk berjoging, berlari, berjalan, trekking hutan dan lain-lain lagi. Sistem GPS untuk mereka yang aktif dengan aktiviti luaran adalah yang terbaik pernah saya temui. Malah Garmin juga tidak mampu mengunci lokasi sepantas dan sehebat ini.

Suunto 9 Peak

Seterusnya adalah sensor suhu, membandingkan pada ramalan cuaca dan termometer infra merah yang saya ada – jam ini membaca pada kadar yang lebih kurang sama. Sensor lain yang saya uji adalah nadi dan pembacaan SpO2. Nadi agak pantas dan tepat, mempunyai data lebih kurang sama dengan TicWatch 3 Pro GPS. Tetapi sayang sekali SpO2 pada Suunto ini terlampau sensitif kerana jika tangan tergerak hanya sedikit proses pembacaan terus batal dan perlu cuba lagi.

Pemantauan tidur juga agak baik, cuma data yang diberikan tidak begitu bagus dan butirannya tidak begitu jelas. Jujur saya katakan Mi Smart Band 6 mempunyai analisa tidur saya yang lebih baik.

Aplikasi Suunto untuk kawalan jam ini baru-baru ini menerima kemaskini dengan antaramuka yang berkali ganda lebih baik daripada sebelumnya. Walaupun begitu, ia masih aplikasi yang asas dan jelas sekali ia dibangunkan oleh mereka yang tidak berpengalaman dalam arena peranti boleh pakai moden.

Aplikasi kelihatan mudah digunakan, tetapi serabut dan memeningkan kerana setiap bahagian adalah berulang. Contohnya di skrin utama sudah ada perkara penting dan bahagian utama, apabila saya tekan data tidur ia akan ke laman data ini tetapi masih mudah menatal kiri dan kanan untuk akses data lain. Ia tidak kemas. Tetapan jam pada aplikasi juga, setiap kali saya buka aplikasi ia perlu melalui proses penyelarian data kerana data tidak diselarikan secara automatik.

Paparan data pada hemat saya baik sahaja, tetapi mungkin boleh menjadi lebih baik jika benar Suunto adalah untuk atlet yang pro. Tetapi mungkin pengguna setiap Suunto tidak hiraukannya, kerana jam ini boleh digunakan bersama aplikasi lain. Oh ya, jam ini tidak menyokong Google Fit yang mana itu adalah aplikasi saya gunakan untuk kebanyakan jam pintar saya.

Jam ini juga tidak boleh membalas mesej, menjawab panggilan telefon, sebaliknya hanya boleh lihat sedikit sahaja. Penggera juga tidak begitu kuat getarannya, tetapi ia adalah antara getaran yang paling sedap dan selesa pernah saya rasai. Seakan enjin haptik iPhone terbina. Jika sekadar notifikasi apabila sedang melakukan aktiviti ringan mungkin boleh rasa, tetapi pergerakan yang banyak, getaran jam ini terlampau manja.

Ganjaran Untuk Pengguna

Mereka yang aktif bersukan atau aktif dengan aktiviti luar pasti tidak akan bergantung pada Suunto sahaja. Mereka akan langgan pelbagai perkhidmatan digital seperti Strava, UA MAPMYRUN, atau lain-lain lagi untuk ekosistem atau pengalaman penggunaan lebih baik. Semasa saya aktifkan jam ini, saya menerima emel untuk Value Pack iaitu diskaun langganan kepada pelbagai aplikasi seakan Strava.

Namun, ia bukannya percuma. Cuma ia adalah sedikit lebih murah dan lebih berbaloi berbanding melanggan tanpa memiliki jam Suunto ini. Dalam kiraan saya ada 11 ganjaran diberikan sama ada percuma sebulan langganan, berkas langganan pada harga diskaun dan lain-lain lagi yang bernilai sekitar RM2,500.

Bateri

Ketahanan bateri adalah seperti yang didakwa, benar boleh mencapai 14 hari. Tetapi untuk GPS saya tidak dapat sahkan dakwaan 170 jam mereka. Jadi untuk bateri pada hemat saya tidak ada sebarang masalah. Proses pengecasan juga mudah sekali menggunakan pak pengecas bulat yang magnetik. Cuma magnetnya tidak kuat dan perlu sedikit perhatian sebelum mengecas.

Tempoh pengecasan juga tidak begitu lama sekitar bawah 2 jam iaitu standard pada hemat saya.

Pesaing

Suunto Peak 9Garmin EnduroCoros Vertix
Skrin 1.2-inci,
Paparan Pantulan Trans
240 x 240 piksel
1.40-inci
Paparan Pantulan Trans
280 x 280 piksel
1.20-inci
Paparan Pantulan Trans
240 x 240 piksel
Sistem OperasiTersendiri Tersendiri Tersendiri
Perlindungan100M10 ATM15 ATM
Bateri 14 Hari50 Hari45 Hari
Sensor GPS, Altimeter, Imbasan Nadi, Kompas, Termometer, SpO2 GPS, Altimeter, Imbasan Nadi, Kompas, Giroskop, Pemecut, Termometer, SpO2 GPS, Altimeter, Imbasan Nadi, Kompas, Giroskop, Pemecut, Termometer, SpO2
Harga RM2799/RM3199RM3699RM3099

Kesimpulan

Selepas menggunakan Suunto 9 Peak, saya cuba ingat kembali pengalaman menggunakan jam-jam Garmin seperti Venu dan Fenix. Apa yang saya boleh katakan, Garmin adalah lebih mesra pengguna dan lebih mengikut perkembangan teknologi semasa. Tetapi untuk GPS, Suunto layak diberikan pujian kerana begitu pantas mengenalpasti lokasi.

Untuk penggunaan lain, Suunto ini adalah terlampau asas. Skrin yang boleh diterima tetapi ia tidak cantik dan begitu menawan. Fungsi kecergasan lain adalah antara kekuatan pada jam ini. Bagi mereka yang ingin mencuba Suunto, saya sarankan memiliki seutas jam tangan pintar lain jika masih ingin menikmati ciri ini. Tetapi jika anda hanya mencari peranti boleh pakai untuk memantau kesihatan, data-data sukan dan sebagainya – Suunto adalah terbaik.

Suunto 9 Peak

Untuk model asas dengan keluli tahan karat, harganya adalah RM2,799 dengan pilihan warna All Black atau Moss Grey. Manakala binaan Titanium adalah RM3,199 dengan pilihan warna Granite Blue dan Birch White. Perlu diingatkan, jam ini bukannya untuk semua tetapi ada niche tertentu untuk siapa yang layak menggunakannya. Jika anda harapkan pengalaman penggunaan seakan Wear OS, Apple Watch, Amazfit, Zepp – anda tidak dapat daripada Suunto ini.


Pro

  • Rekaan kemas, binaan premium dan seakan memakai jam mewah
  • Semua sensor yang berfungsi dengan baik dan tepat
  • Butang fizikal yang enak ditekan untuk kawalan
  • Ketahanan bateri yang memuaskan

Kontra

  • Hanya seutas jam tangan pintar asas dengan sensor yang berkuasa
  • Tidak sesuai untuk semua dan khusus untuk yang aktif sahaja
  • Antaramuka aplikasi dan jam tidak begitu mesra pengguna
  • Fungsi asas jam tangan pintar terlampau asas, sehinggakan Mi Smart Band 6 adalah lebih menarik

Komen ()