Jualan NFT Sepanjang Separuh Pertama 2021 Dilihat Mencecah $2.5 Bilion

Diterbitkan pada July 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

NFT ataupun Non Fungible Token secara ringkasnya ialah sebuah aset digital yang boleh disahkan kesahihannya menggunakan rantaian blok yang kemudiannya boleh digunakan untuk dijual beli, dan perbandingan yang paling rapat ialah jual-beli aset seni klasik yang telahpun berjalan sejak beratus-ratus tahun.

Sepanjang tahun ini kami telah melaporkan sejumlah berita mengenai NFT yang dijual dengan nilai yang sangat tinggi. Diantaranya ialah ciapan pertama Jack Dorsey di Twitter dan juga kod sumber internet Tim-Berners Lee yang dijual pada harga berjuta-juta dolar.

Itu bukan sahaja NFT yang dijual di pasaran digital. Banyak “seni” meme juga dijual pada harga yang agak mengejutkan, walaupun secara teknikalnya benda-benda ini boleh dicari melalui enjin carian internet dan disimpan ke komputer terus secara percuma.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa pada separuh pertama tahun ini sahaja, jualan produk NFT dilihat mencecah $2.5 bilion (~RM8 bilion) dan ini adalah peningkatan lebih seratus kali ganda berbanding dengan jumlah jualan NFT pada separuh pertama pada tahun sebelumnya, yang mencatatkan jualan sebanyak $13.7 juta (~RM56 juta) secara keseluruhan.

Melalui dua platform jual-beli NFT, termasuklah Nonfungible.com, ia dapat dilihat bahawa jumlah jualan NFT telah melonjak seperti harga Bitcoin dua-tiga tahun yang lalu, yang mana orang yang mempunyai kekayaan yang terlalu banyak mahu melaburkan wang mereka kedalam aset-aset baharu yang dilihat hanya akan meningkat nilainya di masa hadapan.

Walaupun NFT yang banyak dilaporkan adalah seni yang dijual pada tanda harga mahal, kebanyakan NFT yang dijual di pasaran tidaklah begitu mahal. Malah, NFT yang paling popular di pasaran sekarang dilihat adalah seperti video ringkas jaringan dalam perlawanan bola keranjang NBA, dan juga NFT yang “asal”, iaitu kucing digital Cryptokitties yang dicipta menggunakan kriptowang Ethereum, yang dikatakan menjadi trafik utama penggunaan Ethereum untuk beberapa tahun lepas.

Samada nilai produk NFT ini akan kekal atau jatuh menjunam seperti nilai kriptowang kebelakangan ini, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Sumber: Reuters

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami