Cari @ Amanz

Satu perkara yang telah lama kami tidak lakukan di rumah ialah mencari monitor kerja. Ini adalah kerana sebelum pandemik,kami hanya menghabiskan 1-2 jam bekerja di atas kerusi menggunakan komputer riba. Pandemik memaksa kesemua sidang redaksi Amanz bekerja di rumah sejak lebih enam minggu lalu dan selepas 12 jam setiap hari tunduk melihat skrin komputer riba, leher mula rasa sakit dan membengkok seperti mata kail.

Huawei MateView Monitor

Oleh itu sejak empat minggu yang lalu kami secara aktif mencari skrin untuk kerja di rumah yang akan memberikan pengalaman kerja yang paling selesa. Percubaan menggunakan televisyen pintar gagal kerana skrin yang terlalu besar. Oleh itu bila pihak Huawei menawarkan kami untuk mengulas monitor Huawei MateView mereka, kami seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal.


Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin28.2″ IPS LCD, 3840 x 2560, 3:2
VESA DisplayHDR 400, 60Hz
Sokongan Warna100% sRGB, 98% DCI-P3
Nisbah Kontras1200 : 1
Kecerahan500 cd/m²
Masa Tindak Balas?
Sokongan Paparan AdaptifTiada
CagakTiada
I/O1x HDMI 2.0, 1x USB-C, 1x mini DP 1.2
AudioBicu Audio 3.5mm
USB2x USB-A 3.0, 1x USB-C
Kamera WebTiada
HargaRM 2988

Skrin

Skrin sebesar 28.2″ adalah dari keluarga IPS LCD dengan sokongan resolusi sehingga 4K. Perkara pertama yang kami cukup suka mengenai skrin MateView bukanlah resolusi tetapi nisbah yang digunakan. Skrin 3:2 pada hemat kami ialah nisbah yang terbaik untuk sebuah monitor kerja. Ruang menegak yang lebih tinggi mengurangkan keperluan menatal dan cukur besar untuk memaparkan elemen antaramuka perisian kerja seperti Photoshop dan Premiere Pro. Nisbah ini digunakan Huawei kerana ia digunakan pada komputer riba Matebook mereka dan ini akan menyeragamkan nisbah skrin ekosistem mereka.

Paparan warna adalah cukup terang dan tajam. Kemampuan panel Huawei adalah amat baik dan telah kami sedari sejak mengulas skrin pintar Vision S mereka beberapa bulan yang lalu. Sudut pandangan adalah amat baik tanpa ada perubahan warna yang drastik apabila dilihat dari sudut berbeza. Paling penting sekali tidak mendatangkan sebarang sakit mata selepas melihat skrin berjam lamanya

Skrin ini juga melepasi piawaian VESA DisplayHDR 400 dan mampu memaparkan keterangan sehingga 500 nits. Ini memang bukan skrin yang paling terang di pasaran tetapi untuk keperluan kerja adalah lebih dari memadai pada hemat kami. Malahan sebenarnya di kalangan peminat visual yang tegar, keterangan 500 nits tidak mencukupi untuk dikatakan sebagai high dynamic range tetapi piawaian ini diguna pakai oleh industri pengkomputeran sejak dua tahun lalu.

Kekurangan yang ada pada waktu ini ialah tiada sokongan NVIDIA G-Sync atau AMD FreeSync pada waktu ini kerana sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Ketiadaannya tidak begitu dirasai kerana MateView ialah komputer kerja dan bukan untuk gaming.

Rekaan

Rekaan adalah amat bergaya dan kelihatan premium. Jauh panggang dari api apabila dibandingkan dengan kebanyakan monitor kerja yang ditawarkan di pasaran. Rekaan konservatif plastik yang membosankan digantikan dengan rekaan yang moden, berkilat dan nampak sangat kontemporari pada MateView. Bahagian bingkai logam dipadankan dengan bahagian tapak yang juga diperbuat daripada logam yang tegap.

Keperluan bekerja dari rumah menyebabkan monitor kerja diletakkan di ruang tamu. Secara lazimnya rekaan monitor kerja yang terlalu asas dan plastik akan merosakkan tema rumah. MateView nampak cukup bergaya sehingga tidak mencacatkan ruang dimana ia diletakkan. Pujian tertinggi yang boleh saya berikan ialah isteri tidak merungut MateView diletakkan di ruang tamu rumah kerana ia cantik. Sebelum ini sebuah monitor Acer Predator diletakkan di ruang yang sama dan isteri merungut kerana ia lari daripada tema rumah sebelum mengarahkan kami memindahkannya ke pejabat peribadi selama-lamanya.

Tidak melampau untuk mengatakan MateView mengambil inspirasi dari Apple Pro Display XDR kerana ada beberapa persamaan pada rekaan tapak. Perbezaannya adalah kami rasakan MateView memperbaiki beberapa kekurangan yang ada pada produk Apple.

Pertama sekali ialah tapak disertakan dengan pembelian tanpa perlu dibeli secara berasingan. Kedua kedudukan port kuasa dan I/O input yang lebih kemas terbina pada tapak. Pengguna hanya perlu menyambung palam kuasa USB-C ke bahagian tapak dengan port HDMI 2.0 dan mini DP 1.2 terletak bersebelahan. Amat mudah menyambungkan input kepada MateView kerana kedudukan port yang amat ergonomik ini. Pengursan kabel juga dipermudahkan pada waktu yang sama.

Kemudian 2xUSB-A 3.0, 1xUSB-C dan bicu audio 3.5mm pula diletakkan pada sisi tangkai tapak. Sekali lagi kedudukan yang amat mudah diakses jika dibandingkan dengan di belakang pada Pro Display XDR. Ia membuatkan kami tertanya-tanya mengapa ini bukan rekaan standard yang digunakan secara lebih meluas pada monitor komputer lain?

Menerusi sambungan USB-C, komputer dan peranti pintar (tablet atau telefon pintar) boleh dicas secara langsung secara serentak semasa MateView digunakan. Pengecasan sehingga 65W disokong yang membolehkan ia mengecas pelbagai jenis komputer riba kerja, Ultrabook, dan 2 dalam 1.

Kami hanya kecewa output kuasa lebih tinggi sekitar 85W tidak disokong kerana MateView tidak cukup berkuasa untuk mengecas MacBook Pro yang dimiliki. Tetapi ini hanya masalah kecil kerana MacBook Pro masih boleh mengambil kuasa dari MateView cuma bateri tidak dicas pada waktu yang sama sahaja.

Akhir sekali sepasang speaker 10W (2x 5W) diletakkan pada bahagian tangkap pemegang skrin. Sebuah kekisi audio yang elegan diletakkan pada bahagian hadapan bagi membolehkan audio didengari dengan lebih baik. Kedudukannya ini membolehkan audio ditembak terus ke depan tanpa sebarang halangan. Kami akan menyentuh mengenai prestasi audio dengan lebih mendalam pada ruangnya sendiri di bawah nanti.

Pengalaman Penggunaan

Pengalaman penggunaan adalah amat baik sekali. Proses sambungan ke komputer, tablet, konsol permainan video dan telefon pintar boleh dilakukan tanpa sebarang isu. MateView mengenalpasti input yang diberikan sebelum mencari nisbah skrin yang paling sesuai. Ini dapat kami lihat sendiri ketika menggunakan mod Wired Projection pada Huawei MatePad Pro dan Samung DeX pada Galaxy S21 Ultra milik kami. Walaupun berbeza ekosistem, MateView cukup pintar mencari mod paparan yang terbaik.

Bahagian skrin boleh dilaraskan ketinggiannya sehingga 110 mm yang kami rasakan cukup mewah dengan sudut mendongak pula di antara -5 hingga 18 darjah. Darjah kebebasan melaras sudut pandangan skrin yang diberikan adalah amat baik setanding dengan majoriti monitor kerja premium yang di pasaran. Kami tidak mempunyai masalah mencari sudut penggunaan paling optimum sepanjang 2 minggu tempoh ulasan.

Proses mengubah ketinggian adalah mudah tetapi memerlukan dua tangan. Mekanisme yang digunakan cukup teguh dan kekal di posisi yang ditetapkan selepas usai ditetapkan oleh pengguna. Kekurangan hanyalah MateView tidak menyokong skrin diputarkan 90 darjah untuk orientasi menegak. Walaupun secara peribadi tidak berapa kerap kami gunakan, ia adalah pilihan yang sering diberikan pada monitor premium.

Seperkara lagi kamera web tidak disertakan secara terbina. Aneh bila difikirkan Huawei menyertakan kamera web 13MP pada skrin pintar Vision S mereka. Jika skrin pintar boleh ada kamera web mengapa monitor tempat kerja tiada pula. Kurang masuk akal apabila memikirkan dalam dunia semasa penggunaan kamera web adalah keperluan harian. Jika ia disertakan, MateView pastinya akan menjadikannya monitor yang paling lengkap di pasaran Malaysia.

Akhir sekali monitor tidak menyambung sambungan standard VESA kerana ia tidak boleh ditanggalkan daripada tapak yang disertakan. Tidak mengejutkan kerana kesemua I/O dan sambungan kuasa adalah menerusi tapak. Kami hanya perlu menerangkan kepada anda kerana kami tahu ada sebilangan kecil pengguna yang gemar memasang skrin ke dinding atau pemegang skrin VESA yang boleh dilaras.

Slide Switch

Pad sesentuh Slide Switch diletakkan pada bahagian dagu MateView. Ia digunakan untuk mengawal tetapan monitor menggantikan pelbagai butang fizikal yang digunakan pada monitor bahasa. Menatal dengan satu jari akan mengaktifkan mod laras audio. Menekannya sekali akan memaparkan antaramuka menukar input dan melakukan tetapan untuk pelbagai parameter MateView seperti keterangan skrin dan warna.

Amat mudah untuk menggunakan Slide Switch kerana ianya intuitif bagi mereka yang pernah memiliki peranti dengan skrin sesentuh. Pengesanan tatalan juga 1:1 tanpa sebarang sela masa. Pada hemat kami sistem Slide Switch ini perlu digunakan pada kesemua monitor PC di masa hadapan. Pada awalnya kami agak risau dengan penggunaan pad sesentuh kerana pengalaman menggunakan sistem sama pada sebuah monitor di rumah sebelum ini adalah amat mengecewakan.

Huawei mungkin mengalami masalah untuk mendapatkan komponen untuk telefon mereka pada waktu ini tetapi pada MateView tiada isu dapat kami lihat. Bahan binaan premium dipadankan dengan rekaan yang ergonomik dan sistem kawalan yang terbaik di dalam kelasnya.

Audio

Audio adalah cukup lantang tetapi masih lagi jelas. Ia mungkin mempunyai sistem audio yang terbaik pernah kami gunakan sejak mula mengulas monitor. Ia menembak ke hadapan tanpa halangan. Kelebihan ini kami sedari semasa menghadiri sesi telesidang yang memerlukan kualiti audio yang baik. Dua mikrofon yang disertakan juga cukup baik menangkap suara kami ketika melakukan panggilan video/suara. Kesimpulannya kemampuan audio MateView adalah lebih baik daripada biasa.

Huawei MateView ialah antara monitor kerja terbaik pernah kami gunakan kerana paparannya yang terang, tajam dan beresolusi tinggi. Ia menyokong pelbagai yang disambungkan tanpa sebarang isu yang besar. Pilihan I/O juga cukup pelbagai bagi menyokong peranti input yang ingin digunakan.

Kesimpulan

Kekuatan MateView terletak pada rekaannya yang amat kontemporari dengan pilihan melaras ketinggian serta sudut dongak yang amat memuaskan. Sistem kawalan Slide Switch yang digunakan juga amat intuitif sehingga kami merasakan ia perlu menjadi standard pada monitor premium lain di pasaran. Kedudukan kesemua input dan I/O di bahagia lehernya juga amatkan mesra pengguna kerana memudahkan akses.

Kekurangannya adalah sedikit sahaja seperti tiada sokongan kadar segar semula lebih tinggi, tiada G-Sync, tiada FreeSync dan tiada sokongan cagak VESA yang sudahpun menjadi standard pada monitor yang dijual pada harga yang setanding.

Pada harga RM2988 sebuah ia mungkin jatuh ke dalam kategori mahal. Monitor pintar 27″ Samsung Smart Monitor yang juga boleh berubah menjadi sebuah televisyen pintar Tizen misalnya ditawarkan pada separuh harga MateView dan monitor 4K lain di pasaran juga jauh lebih murah.

Namun begitu MateView ditawarkan sebagai pesaing kepada Pro Display XDR yang dijual pada harga jauh lebih tinggi. Pesaing paling hampir MateView di pasaran ialah LG LG 27” 27UP850 dan Samsung Smart Monitor. Bagi mereka yang mencari monitor 4K dengan kombinasi visual yang mantap, rekaan premium yang kontemporari, kedudukan I/O yang ergonomik dan duit bukan segalanya kami menyarankan MateView kepada anda.


Pro

  • Skrin besar 28″ dengan nisbah 3:2 yang tidak mengecewakan.
  • Rekaan premium yang kontemporari.
  • Pilihan I/O yang baik dengan kedudukan yang amat ergonomik.
  • Sambungan USB-C.
  • Smart Switch ialah sistem kawalan yang perlu ditiru.
  • Speaker dan mikrofon yang digunakan juga mantap.

Kontra

  • Tiada kamera web.
  • Tiada sokongan cagak VESA standard.
  • Ciri Wireless Projection hanya disokong peranti Huawei.
  • Skrin tidak berputar 90 darjah.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd