Cari @ Amanz

Acara Huawei Pack Summer Product Launch hari ini menyaksikan pengenalan peranti pintar baharu, Huawei Nova 8i. Sama seperti generasi sebelumnya, telefon pintar ini meneruskan tradisi Huawei yang menyasarkan kepada pengguna generasi muda. Antara tumpuan utama pada peranti adalah kuad-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel, skrin bersaiz besar dan bateri dengan pengecasan pantas 66W.

Huawei Nova 8i Dalam Kemasan Interstellar Blue

Huawei Nova 8i dijual pada harga RM1,299 dan tersedia dalam tiga pilihan warna seperti Interstellar Blue, Moonlight Silver dan Starry Black. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa platform seperti kedai atas talian rasmi Huawei, Lazada, Shopee dan Senheng. Sesi pra-tempahan akan dibuka bermula 7 Julai 2021 dan setiap pembelian didatangkan dengan hadiah percuma bernilai sehingga RM260.

Untuk spesifikasi khusus, Huawei Nova 8i dilengkapi skrin bersaiz 6.67-inci dengan resolusi FHD+ (2376 x 1080 piksel). Seterusnya, ia juga dijana dengan cip Snapdragon 662, memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri berkapsiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W.

Sistem kuad-kamera di belakang terdiri dengan tetapan sensor utama 64-Megapixel. Kemudiannya, diikuti dengan tiga lagi lensa berbeza iaitu 8-Megapixel (ultra-lebar) dengan sudut pandang 120 darjah, 2-Megapixel (kedalaman) dan 2-Megapixel (makro). Kamera swafoto pula adalah 16-Megapixel. Lain-lain spesifikasi termasuk – menjalankan Huawei App Gallery, sistem operasi EMUI 11, bluetooth 5.0, port sambungan USB-C, pengimbas cap jari sisi dan banyak lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd