Kemampuan dron komersial meningkat berlipat ganda sejak diperkenalkan sejak sedekad yang lalu. Bermula sebagai platform fotografi dan videografi ia kini berkembang menjadi mod penghantaran barangan yang pantas dan menjadi acara sukan baharu. Tetapi potensinya sebagai alat bantuan kecemasan juga sedang dibangunkan pelbagai pihak. Di Jerman misalnya, dron yang mampu mengesan jeritan manusia meminta tolong sedang dibangunkan.

Dron ini dibangunkan oleh Fraunhofer Institute for Communication, Information Processing and Ergonomics (Fraunhofer FKIE) dengan kemampuan mengesan arah jeritan dengan tepat. Sebanyak 32 mikrofon digunakan dengan teknologi beam forming. Ini membolehkan ia mengesan dari arah jeritan dengan lebih tepat sebelum memburu lokasi secara swaterbang. Pereka percaya sistem mereka amat berguna dalam situasi individu terperangkap di bawah bangunan ataupun sistem kamera termal tidak dapat mengesan haba tubuh mangsa yang tertimbus.
Teknologi ini sudah dibangunkan sejak 2016 tetapi pada prototaip asal sistem mikrofon yang digunakan terlalu berat untuk digunakan pada sebuah dron. Sistem masih lagi sedang diperbaiki untuk menapis bunyi dari kipas dron dan hingar dari kawasan sekeliling. Sistem kecerdasan buatan dan rangkaian neural juga masih lagi dibangunkan untuk dron mengenalpasti jeritan meminta tolong dari mereka yang memerlukan bantuan.