Pada acara pelancaran hari ini, Huawei turut mengumumkan mengenai tablet Huawei MatePad 11. Menurut Huawei, ia merupakan tablet terawal keluaran mereka yang menyokong skrin dengan kadar segar semula 120Hz. Pada masa sama, Huawei turut mengesahkan bahawa tablet ini bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Untuk spesifikasi, Huawei MatePad 11 dilengkapi skrin bersaiz 11-inci TFT LCD (IPS) LCD dengan resolusi 2560 x 1600 (WQXGA). Ia juga kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 865, bateri 7250mAh dan menjalankan sistem operasi HarmonyOS 2.0 sama seperti Huawei MatePad Pro 12.6-inci. Untuk tetapan kamera, ia menyertakan kamera swafoto 8-megapixel di hadapan, selain kamera belakang 13-megapixel.

Pada masa sama, tablet ini turut menyokong aksesori tambahan seperti stylus terkini Huawei M Pencil generasi kedua dan papan kekunci Smart Magnetic Keyboard baharu. Tidak ketinggalan, Huawei MatePad 11 juga menampilkan empat pembesar suara dengan sistem audio Huawei Histen 7. Buat masa ini, masih tiada butiran lanjut mengenai tarikh khusus penawarannya di Malaysia. Sama-sama kita nantikan.