Cari @ Amanz

Pentagon hari ini membatalkan kontrak bernilai $10 bilion yang diberikan kepada Microsoft pada tahun 2019 untuk sistem pengkomputeran awanan JEDI bagi tujuan ketenteraan. Keputusan diambil selepas mengambil kira rungutan dari Amazon yang mendakwa Presiden Trump memberikan tekanan kepada Pentagon untuk menganugerahkan kontrak kepada Microsoft dan ini dilihat sebagai tindakan yang tidak adil.

Ketika proses bidaan masih dijalankan, Presiden Trump berbalah dengan Jeff Bezos kerana perbezaan pendapat serta akhbar Washington Post milik manusia terkaya dunia kerap mengkritik pentadbiran beliau. Dengan kontrak JEDI dibatalkan, program baharu Joint Warfighter Cloud Capability pula diumumkan sebagai ganti.

Program Joint Enterprise Defense Infrastructure (JEDI) menawarkan perkhidmatan awanan kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD). Selain Amazon, syarikat yang berminat menawarkan perkhidmatan mereka ialah Google, Microsoft, Oracle dan REAN Cloud. Google kemudian menarik diri selepas kakitangan melakukan protes keluar beramai-ramai dari pejabat kerana kontrak ketenteraan dilihat menyimpang dari nilai syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd