Cari @ Amanz

B-21 Raider akan menjadi pesawat pengebom terbaru Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) untuk abad ke-21. Ia akan menggantikan pesawat pengebom sukar dikesan radar B-2 Spirit dan B-1 Lancer yang sudah agak berusia. Semalam pihak USAF berkongsi imej pengolokan terkini B-21 Raider untuk tatapan media.

Turut dikongsi ialah spesifikasi serta keperluan pesawat yang dijangka memulakan operasi seawal 2025. Kontrak pembinaan telahpun dianugerahkan kepada Northrop Grumman pada tahun 2015 yang turut terlibat dalam pembinaan B-2 Spirit sebelum ini. Banyak perubahan telah dilakukan pada rekaan sejak imej pengolokan pertama diperlihatkan enam tahun lalu. Dalam imej terkini penggunaan sekeping tingkap sisi yang besar dapat dilihat dan ini tidak pernah dilakukan pada mana-mana pesawat pengebom selama ini.

Seperti B-2, B-21 Raider akan mempunyai rekaan sayap terbang yang memberikan keratan rentas radas yang kecil sekaligus membuatkannya sukar dikesan oleh radar. Pesawat ini akan mempunyai kemampuan terbang dengan juruterbang manusia dan swaterbang apabila perlu. Ia turut akan dapat beroperasi dengan sistem dron yang sedang dibangunkan oleh USAF. Kemampuan membawa senjata nuklear dikekalkan tetapi dipertingkatkan lagi dengan senjata pintar yang boleh melepak di ruang udara sebelum memusnahkan sasaran.

Imej pengolokan asal dari tahun 2015.

Apa yang kami rasakan menarik ialah B-21 Raider akan menjadi tulang belakang unit pengeboman strategik USAF bersama dengan B-52 yang sudah beroperasi sejak 1952. B-52 dijangka akan kekal beroperasi sehingga pertengahan 2050an menjadikannya pesawat tentera pertama aktif melebihi 100 tahun di dunia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd