Dilihat semakin aktif di Malaysia, Infinix kini mula menawarkan sebuah lagi model lain buat pengguna tempatan – dikenali sebagai Infinix Note 10. Ia merupakan sebuah peranti kelas pertengahan lengkap dengan skrin besar yang menyokong kadar segar semula tinggi 90Hz.

Bagi yang berminat, Infinix Note 10 dijual di Malaysia pada harga RM649 dengan pilihan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Ditawarkan secara eksklusif menerusi laman Shopee, anda boleh mendapatkannya bermula hari ini dengan tiga pilihan warna seperti Black, Purple dan Green.

Untuk spesifikasi khusus, Infinix Note 10 dilengkapi skrin berukuran 6.95-inci IPS LCD dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Seterusnya, ia juga dijana dengan cip MediaTek Helio G85, memori 6GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 18W.
Sistem tri-kamera di belakang digunakan pada peranti ini dengan tetapan 48-Megapixel (utama) + 2-Megapixel (kedalaman) + 2-Megapixel (makro). Kemudian, kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel untuk tujuan tangkapan gambar swafoto atau panggilan video. Spesifikasi lain termasuk – pengimbas cap jari sisi, bluetooth 5.0, bicu audio 3.5mm, Android 11 dan banyak lagi.