Sony telah mengemaskini rangkaian aksesori audio keluarannya dengan memperkenalkan Sony SRS-NB10 Wireless Neckband Speaker. Seperti namanya, ia merupakan sebuah pembesar suara yang boleh digantung di leher. Dengan rekaan yang ringan dan mudah digunakan, ia sekaligus membolehkan pengguna menikmati pengalaman audio tanpa gangguan baik untuk panggilan telesidang, mendengar muzik mahupun beriadah.

Kemasan fabrik berkualiti tinggi yang digunakan juga menjanjikan keselesaan berpanjangan buat si pemakai. Seterusnya, ia turut menampilkan pembesar suara yang boleh dihalakan ke atas bagi memberikan kemampuan audio yang baik. Di samping, dua mikrofon terbina dengan sokongan Precise Voice Pickup Technology turut disertakan bagi memaksimakan hingar sekaligus menyajikan kualiti suara si pemakai dengan jelas.

Selain daripada itu, ia boleh disambungkan kepada dua peranti lain seperti komputer riba dan telefon pintar seara serentak menggunakan tambatan bluetooth. Dengan sekali pengecasan penuh, Sony SRS-NB10 Wireless Neckband Speaker boleh beroperasi sehingga 20 jam lamanya. Terdapat juga butang fizikal khas yang membolehkan pengguna mengawal sejumlah tetapan dan penarafan rintangan percikan IPX4 sebagai pelindungan utama.

Sony SRS-NB10 Wireless Neckband Speaker ditawarkan pada harga $149.99 (~RM624) dan tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Charcoal Gray atau White. Ia akan mula dipasarkan bermula September kelak.
Sumber : Siaran Akhbar Sony