Apakah aplikasi yang kerap digunakan pada telefon pintar di tangan anda sekarang? Jawapan kepada soalan ini berbeza pada setiap individu kerana tabiat yang berbeza. Tetapi menurut kajian yang dilakukan oleh Comscore bagi pihak Facebook, 20 aplikasi paling kerap digunakan pada peranti Android dan iOS didominasi aplikasi terpasang keluaran Google dan Apple.
Pada platform Android misalnya, 12 daripada 20 aplikasi paling popular adalah aplikasi terpasang Google seperti YouTube, Gmail dan Google Play Store. Pada platform iOS pula, 15 daripada 20 aplikasi paling popular adalah aplikasi terpasang Apple seperti Photos, Camera dan Messages.
Menerusi kajian ini, Facebook ingin menunjukkan Google dan Apple menggunakan aplikasi terpasang pada platform mereka untuk mengelakkan persaingan dengan pembangun aplikasi pihak ketiga. Ini pastinya berkait rapat dengan pelbagai kes mahkamah yang melibatkan Apple sekarang yang dituduh menyalahgunakan monopoli App Store bagi mempromosikan aplikasi sendiri.
Apple telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan metodologi kajian yang dilakukan adalah tidak sempurna dan direka untuk menunjukkan mereka tidak adil kepada pembangun lain. Sebaliknya menurut Apple pada platform mereka, pembangun bersaing dengan adil dan mencapai kejayaan yang tinggi. Google pula enggan memberikan kenyataan rasmi pada waktu ini.
Sumber The Verge