Dalam ujian yang dilakukan oleh Anandtech beberapa hari yang lalu, mereka mendapati markah penanda aras sesetengah aplikasi adalah lebih rendah berbanding peranti lain yang menggunakan Snapdragon 888. Markah ujian HMTL misalnya memang jelas rendah tetapi apabila mengakses Geekbench pula, kemampuan yang lebih tinggi dicatatkan. Ini menyebabkan Geekbench telah menyahsenarai markah yang dicatatkan oleh OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro pada laman mereka.
Kini OnePlus telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu marka penanda aras yang tidak konsisten. Menurut OnePlus, mereka sentiasa mendengar maklum balas dari pengguna. Antara isu yang diterima ialah haba dan penggunaan bateri pada aplikasi seperti Chrome. Oleh itu pada OxygenOS, sesetengah aplikasi telah dioptimasi untuk tidak menggunakan teras utama yang lebih berkuasa bagi tujuan penjimatan bateri.
Maka pengurangan prestasi ini adalah sengaja untuk mengimbangi kuasa memproses, bateri dan haba yang dihasilkan pada peranti mereka. Fokus mereka ialah untuk melakukan sebaik mungkin untuk menawarkan yang terbaik kepada pengguna mereka.
Sumber XDA Developer