Cari @ Amanz

Isu saman dan Google berpisah tiada. Terkini, ia telah dilaporkan bahawa kerajaan 36 kerajaan negeri di Amerika Syarikat telah memfailkan saman anti-kepercayaan terhadap syarikat teknologi tersebut kerana cara pengendalian dan juga monopoli Google Play Store keatas syarikat-syarikat pembuat aplikasi yang menggunakan platform tersebut.

Saman terhadap Google ini difailkan kerana pihak kerajaan negeri ini mahu memaksa syarikat tersebut mengurangkan pengambilan potongan pendapatan 30 peratus daripada aplikasi-aplikasi yang dijual pada platform tersebut. Menariknya, sebelum ini Google telahpun membuat pengumuman bahawa potongan tersebut akan dikurangkan kepada 15 peratus untuk pembangun aplikasi yang belum mencapai pendapatan $1 juta.

Ini bukanlah kali pertama Google menerima saman seperti ini. Pada bulan Oktober tahun lalu, 18 kerajaan negeri Amerika Syarikat kerana isu Google Play Store yang sama juga. Ini dilihat selepas Google mengetatkan undang-undang mereka tentang cara penggunaan Google Play Store tersebut oleh pembangun, yang mana ia memaksa kebanyakan jika tidak semua pembayaran aplikasi dan dalam aplikasi perlu dilakukan melalui Google Play Store.

Pihak Google turut mengatakan bahawa paksaan untuk menjadikan Google Play Store ini lebih terbuka akan membuatkan platform tersebut, dan sistem operasi Android secara keseluruhannya kurang selamat khususnya jika aplikasi dibenarkan untuk menerima bayaran tanpa perlu melalui sistem keselamatan Play Store.

Bagi Google, saman ini adalah sesuatu yang tidak diperlukan kerana semua keputusan yang dibuat oleh Google mengenai Play Store adalah untuk keselamatan dan keselesaan pengguna dan juga para pembangun aplikasi pada sistem operasi Android.

Sumber: Politico

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd