Cari @ Amanz

Jika anda seorang penggemar membangunkan komputer desktop, anda pasti pernah mendengar nama Colorful, iaitu sebuah jenama pembuat kad grafik dari China yang dikenali untuk kad-kad grafik mampu milik dan premium.

Terkini, Colorful dilihat memperkenalkan komputer riba gaming mereka sendiri yang dinamakan Colorful X15-AT Gaming yang dikuasakan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan juga NVIDIA. Sekilas pandang, komputer-komputer riba ini nampaknya hadir dengan rekaan yang agak biasa dan minimalis dan tidak terlalu menonjol, yang mana ia boleh dikatakan jenis rekaan yang lebih digemari orang ramai yang juga ingin menggunakan komputer riba gaming mereka sebagai mesin produktiviti mudah-alih.

Komputer riba ini hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz yang cukup baik untuk banyak kandungan digital hari ini. Paparan ini juga dikatakan boleh memperlihatkan julat warna sRGB 100 peratus yang sangat berguna bukan sahaja untuk pereka profesional di luar sana, tetapi juga untuk tujuan menampakkan grafik yang cantik ketika sesi permainan ataupun tontonan video.

Dari segi spesifikasi dalaman, ia dikuasakan oleh sejumlah pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake-H sehingga Intel Core i7-11800H, dan akan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi dan kadar segar semula paparan komputer riba ini.

Dari segi ciri-ciri tambahan, ia dilihat bahawa Colorful X15-AT ini akan hadir dengan sokongan WiFi6, Thunderbolt 4 dan juga sistem penyejukan Storm Blade 3 yang akan memastikan komputer riba ini berfungsi pada kadar optimum.

Colorful dijangka akan memperkenalkan komputer riba Colorful X15-AT ini di pasaran APAC pada bulan Julai 2021 pada harga permulaan $1199 (~RM4800). Walaupun siri kad grafik Colorful ada dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia, ia masih tidak diketahui jika komputer riba ini akan ditawarkan di pasaran tempatan atau tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd