Sejarah Dan Evolusi Aplikasi Berborak – Dari Telnet Ke Discord

Diterbitkan pada July 16, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun 2020 dan 2021 memperlihatkan peningkatan penggunaan aplikasi-aplikasi telesidang dan berborak sebagai mod komunikasi utama diantara keluarga, sahabat dan juga rakan kerja untuk pelbagai jenis tujuan daripada majlis keraian dan perjumpaan jarak jauh.

Tetapi tahukah anda bahawa teknologi pebualan jarak jauh ini sebenarnya sudahpun diperkenalkan melalui komputer-komputer sejak 1969? Didalam artikel ini kami akan cuba menerangkan secara ringkas tentang beberapa aplikasi-aplikasi ini dan sejarah disebalik penggunaannya.

Malah kami menjangkakan bahawa anda akan berasa agak terkejut tentang bagaimana beberapa daripada aplikasi dan perisian ini masih lagi digunakan sehingga hari ini.

Telnet

Jika anda mengenali aplikasi-aplikasi seperti Teamviewer dan Remote Desktop Manager, Telnet secara ringkasnya ialah aplikasi pengawalan komputer jarak jauh pertama yang hadir pada semua platform komputer. Diperkenalkan pada 1969, Telnet merupakan cara utama untuk berhubung dengan komputer-komputer lain dalam satu rangkaian pada zaman dahulu.

Malah, Telnet sebenarnya lebih tua daripada protokol TCP/IP, iaitu protokol alamat yang digunakan untuk menyambungkan komputer-komputer ke internet. Lebih menarik lagi, Telnet masih lagi digunakan dalam sistem-sistem Windows dan Unix sehingga ke hari ini sebagai satu cara untuk mengakses mesin-mesin pelayan dengan cepat tanpa perlu risau mengenai antaramuka berat kerana ia menggunakan antaramuka command line yang biasa dilihat melalui Command Prompt ataupun Unix Shell.

Telnet kemudiannya digantikan dengan cara-cara lain seperti Secure Shell (SSH) untuk menyambung ke komputer dalam rangkaian khususnya kerana data yang dihantar diantara satu komputer ke komputer yang lain tidak disulitkan.

Sebagai sebuah aplikasi komunikasi antara komputer, Telnet juga boleh dimodifikasi untuk dijadikan sebuah aplikasi berborak melalui teks sekiranya terdapat ramai pengguna yang bersambung ke mesin pelayan yang sama, yang mana salah satu daripadanya ialah aplikasi kami yang seterusnya.

IRC

IRC, ataupun Internet Relay Chat boleh dikatakan titik permulaan semua aplikasi/perisian berborak melalui komputer yang kita kenali dan gunakan sekarang. Dibangunkan oleh Jarkko Oikarinen pada tahun 1988, secara ringkasnya aplikasi ini membolehkan komputer-komputer yang mempunyai sambungan internet untuk menyambung ke mesin-mesin pelayana IRC seperti DALnet ataupun Rizon dan sebagainya untuk berborak dengan pengguna-pengguna lain.

Bagaimana ia berfungsi ialah pengguna boleh memuat-turun aplikasi IRC (mIRC, Sysreset, XChat) dan kemudiannya memasukkan nama samaran dan menyambung kepada mana-mana mesin pelayan, dan memasuki bilik-bilik berborak yang mana mereka kemudiannya boleh berborak dalam bilik tersebut, ataupun berborak dengan pengguna-pengguna lain secara senyap.

IRC ialah sebuah aplikasi berborak yang sangat popular pada era 90an dan awal 2000, walaupun di Malaysia. Perisian IRC masih lagi aktif sehingga hari ini, yang mana ia bukan sahaja digunakan sebagai satu cara untuk berborak dengan orang-orang yang tidak dikenali, tetapi juga boleh digunakan untuk memuat-turun fail-fail dari bot-bot yang hadir didalam bilik-bilik borak ini.

Jika anda tidak pernah menggunakan IRC sebelum ini, antaramukanya adalah seperti jika anda membuka beberapa tetingkap Command Prompt sekaligus dalam satu perisian. Penggunaannya sedikit rumit pada mulanya, tetapi apabila anda sudah menemui pelayan dan bilik-bilik borak kegemaran anda, ia boleh dikatakan salah satu pengalaman berborak yang boleh dikatakan agak mengujakan.

Antaramuka aplikasi IRC dan cara penggunaannya juga telah memperlihatkan perubahan dari semasa ke semasa. Kini terdapat klien perisian IRC yang berdasarkan pelayar web dan aplikasi mudah-alih melalui Android dan juga iOS yang membolehkan anda untuk masuk kedalam ruang berborak kegemaran anda bila-bila masa sahaja.

ICQ

Bercakap mengenai aplikasi lama yang masih digunakan sehingga hari ini, ICQ merupakan aplikasi berborak secara teks yang paling popular digunakan apabila ia dilancarkan pada tahun 1996. Pembangun aplikasi ini ialah Mirabilis dari Israel yang mencipta aplikasi yang seperti yang akan kita lihat selepas ini telah ditiru oleh banyak aplikasi yang lain.

ICQ dibangunkan di era sebelum alamat emel menjadi popular, dan oleh itu, mereka menggunakan nombor ID unik yang dinamakan Unique Identification Number (UIN) yang boleh digunakan untuk melog masuk kedalam akaun masing-masing, menyerupai nombor telefon yang unik kepada setiap pengguna.

ICQ telah bertukar tangan beberapa kali, dimana AOL telah membeli syarikat tersebut daripada Mirabilis pada tahun 1998, yang kemudiannya dijual kepada Digital Sky Technology yang kemudiannya menukar nama menjadi Mail.ru. Walaupun ketibaan platform berborak lain memperlihatkan peningkatan dari segi populariti, ICQ masih lagi menjadi salah satu aplikasi berborak popular di Rusia.

Sekitar 2014, Mail.ru telah menaiktarafkan ICQ kepada ICQ New, yang mana ia kini adalah sebuah aplikasi berborak multi-platform yang boleh digunakan untuk bukan sahaja berborak secara teks, malah ia mempunyai fungsi telesidang, kebolehan untuk menterjemah suara ke teks dan boleh dimuat-turun pada pelbagai jenis platform dan sistem operasi, termasuklah Windows, Android, iOS dan juga HarmonyOS.

Bukan itu sahaja, kod sumber ICQ juga telah dijadikan sumber terbuka, yang boleh digunakan oleh pembangun lain untuk membangunkan aplikasi mereka sendiri.

MSN Messenger

MSN Messenger dan Yahoo Messenger adalah pada hemat saya dua daripada aplikasi berborak yang paling popular sekali digunakan di Malaysia. Bergantung kepada kumpulan rakan-rakan anda, anda pastinya akan pernah sekurang-kurangnya menggunakan salah satu daripada kedua-dua aplikasi berborak ini.

Dibangunkan oleh Microsoft pada tahun 1999, MSN Messenger ialah salah satu daripada beberapa aplikasi berborak yang memperlihatkan perubahan yang ketara sepanjang hidupnya. Ia memulakan hayatnya sebagai sebuah aplikasi berborak yang asas dengan kebolehan untuk berborak secara teks dengan ciri buku alamat yang boleh menyimpan alamat emel rakan-rakan anda.

MSN Messenger banyak digunakan dalam pelbagai iterasi sistem operasi Windows juga, dari Windows 98 sehinggalah ke Windows XP, dimana MSN Messenger memperlihatkan perubahan dari segi rekaan antaramuka, kebolehan untuk menukar latar belakang tetingkap borak anda, kebolehan untuk membuka kumpulan berborak yang boleh mengandungi lebih dari dua pengguna, fungsi mengubah gambar avatar, kebolehan menghantar fail antara satu sama lain dan juga kebolehan untuk menyusun senarai kontak anda dalam kumpulan.

Pada 2005-2006, MSN Messenger dijenamakan semula sebagai Windows Live Messenger, dan kemudiannya memperkenalkan kemampuan untuk pengguna MSN Messenger untuk berborak dengan pengguna aplikasi berborak Yahoo Messenger dan juga Facebook Messenger khususnya kerana Facebook Messenger dan Google Talk dilihat hadir dengan keunikan mereka tersendiri.

Sayangnya, sekitar tahun suku ketiga 2012, Microsoft mengumumkan bahawa Windows Live Messenger, dan Skype yang dibeli pada tahun 2011 untuk $8 bilion akan digabungkan pada tahun 2013 yang mana Skype akan menjadi platform permesejan dan panggilan audio untuk Microsoft, yang terus digunakan sehingga hari ini, walaupun kini Microsoft hadir dengan platform telesidang baru yang dinamakan Microsoft Teams.

Yahoo Messenger

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Yahoo Messenger ialah salah satu daripada dua aplikasi berborak yang paling popular digunakan khususnya oleh rakyat Malaysia sekitar awal tahun 2000, yang mana MSN Messenger ialah pesaingnya.

Sejarah Yahoo Messenger juga adalah sesuatu yang agak unik kepada Yahoo. Sebelum Yahoo Messenger diperkenalkan, Yahoo mempunyai perkhidmatan bilik berborak yang dinamakan Yahoo Chat yang mana pada 1998, Yahoo membangunkan aplikasi berborak pertama mereka yang dinamakan Yahoo Pager dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Yahoo Messenger pada tahun 1999.

Sama seperti MSN Messenger, ia hadir dengan kebolehan untuk membuka ruangan berborak berkumpulan, menghantar pelbagai jenis fail seperti gambar, dokumen dan video dengan saiz fail sebesar 2GB.

Menariknya, tidak seperti MSN Messenger, Yahoo Messenger tidak pernah ketinggalan dari segi peralihan teknologi. Yahoo memperkenalkan aplikasi Yahoo Messenger untuk peranti Android dan iOS pada tahun 2014, yang mana aplikasi Android mereka menyokong panggilan suara dan video, walaupun ia tidak pernah dilancarkan secara rasmi.

Dalam pada itu, seperti yang dikatakan sebelum ini, para pengguna MSN Messenger danYahoo Messenger juga boleh menghantar mesej ke satu sama lain, tetapi ciri ini ditamatkan pada tahun 2021 apabila Windows Live Messenger dimatikan perkhidmatannya.

Sayangnya, oleh kerana populariti Yahoo Messenger dilihat semakin menurun kerana penggunaan aplikasi seperti Facebook Messenger dan Discord yang semakin pesat, Yahoo Messenger digantikan dengan Yahoo Together, sebuah platform permesejan sumber terbuka pada tahun 2018, yang kemudiannya dimatikan sepenuhnya setahun kemudian.

Google Talk

Google Talk ialah sebuah aplikasi perbualan teks ringan yang diperkenalkan oleh Google pada tahun 2005, tidak lama selepas Google memperkenalkan perkhidmatan emel mereka yang sangat popular, iaitu GMail. Kehebatan Google Talk, ataupun GTalk pada waktu tersebut ialah ia bukan sahaja hadir dengan aplikasinya tersendiri, tetapi ia juga diintegrasi kedalam laman web GMail, yang mana pengguna tidak perlu memuat-turun sebarang aplikasi jika tidak diingini.

Sebagai pengguna awal GTalk di universiti, diantara kelebihan yang tidak dapat ditandingi oleh perkhidmatan berbual yang lain ialah saiznya yang padat, tetapi kemampuannya untuk menghantar fail bersaiz besar secara laju. Seperti contoh, apabila di universiti, saya sering menghantar fail-fail besar dari lokasi saya di MMU Melaka ke rakan saya yang berada di MMU Cyberjaya.

Kebiasaannya saya akan menghantar fail-fail ini melalui mesin pelayan FTP, tetapi dengan GTalk, saya hanya perlu memuatkan fail tersebut pada aplikasi tersebut dan menghantarnya terus secara P2P dengan kelajuan yang sangat pantas. Ini adalah kerana protokol sambungan yang digunakan oleh Google yang membenarkan GTalk mengenalpasti bahawa ada sambungan seakan LAN diantara kedua-dua universiti ini yang mempercepatkan penghantaran fail tersebut.

GTalk boleh dikatakan satu-satunya aplikasi berborak teks yang boleh dikatakan hadir dengan rekaan yang sangat minimalis, tetapi mempunyai fungsi-fungsi latar belakang yang membuatnya sangat berkuasa. Boleh saya katakan, diantara semua projek-projek yang dimulakan dan dimatikan oleh Google sepanjang 10-20 tahun ini, Google Talk merupakan aplikasi yang saya cukup rindui sehingga hari ini, walaupun secara teknikalnya ia telahpun digantikan dengan perisian telesidang Google Meet yang jauh lebih berkuasa.

Facebook Messenger

Apabila Facebook diperkenalkan pada tahun 2009, popularitinya meningkat bak roket yang sedang menghala ke angkasa lepas, dan dalam masa setahun sahaja dilihat telah membunuh platform-platform media sosial yang lain seperti Friendster dan MySpace. Mungkin kami akan menceritakan tentang sejarah platform media sosial ini dalam artikel yang akan datang kelak.

Facebook Messenger secara ringkasnya ialah sistem permesejan dalam platform yang diubahsuai untuk menjadi sebuah aplikasi berborak melalui teks. Diperkenalkan pada tahun 2011, ia bukan sahaja hadir melalui laman web Facebook, tetapi juga mempunyai aplikasi kendiri pada platform Android dan iOS yang diintegrasikan bersama-sama dengan aplikasi Facebook pada platform-platform tersebut.

Facebook Messenger

Facebook Messenger kemudiannya dikemaskini untuk memuatkan fungsi perkongsian pos di Facebook dan Instagram, memuat-naik fail gambar dan kebolehan untuk membuka bilik berborak yang boleh memuatkan sehingga lapan orang dalam satu-satu masa.

Sebab utama Facebook Messenger boleh melonjak popularitinya ialah kerana integrasi khusus dengan Facebook yang mana semua pengguna Facebook akan mendapat akses kepada aplikasi tersebut tanpa melakukan apa-apa. Oleh kerana pada waktu tersebut, Facebook ialah platform media sosial yang paling cepat jumlah peningkatan penggunanya, dan ini secara langsung meningkatkan populariti Facebook Messenger juga.

Diantara ciri baru yang diperlihatkan pada Facebook Messenger termasuklah integrasi Facebook Pay yang mana pengguna Facebook Messenger boleh membayar atau menghantar wang kepada rakan-rakan mereka menggunakan platform pembayaran tersebut melalui Facebook Messenger. Ciri ini dilihat masih lagi hanya diuji di Amerika Syarikat, malah Facebook Pay itu sendiri buat masa ini hanya ditawarkan pada negara tersebut.

Skype

Kita tidak boleh memulakan perbincangan mengenai aplikasi berborak suara tanpa bercakap mengenai Skype. Diperkenalkan pada tahun 2003 oleh beberapa pembangun dari Estonia, Skype secara langsung telah memulakan revolusi perisian perbualan menggunakan suara melalui Internet (Voice over IP).

Ini bermaksud bahawa Skype bertanggungjawab untuk memperkenalkan dunia kepada panggilan suara menggunakan Internet. Sebelum ini, untuk memanggil seseorang daripada lokasi-lokasi antarabangsa, cas panggilan seminit untuk panggilan IDD (International Direct Dialing) adalah sangat mahal, tetapi oleh kerana cas internet adalah harga tetap, panggilan melalui sambungan internet ini dilihat cara yang sangat popular bagi mereka yang mempunyai sambungan internet pada waktu tersebut.

Skype untuk Web

Skype, sama seperti ICQ telah bertukar tangan beberapa kali. Pada penghujung 2009, Silver Lake, Andreesen Horowitz dan Canada Pension Plan telah mengambil-alih 65 peratus daripada pegangan syarikat tersebut. Pada 2011, Microsoft pula mengambil-alih terus 100 peratus daripada Skype yang kemudiannya digunakan sebagai aplikasi berborak teks dan suara rasmi Microsoft, menggantikan Windows Live Messenger pada tahun 2012.

Skype juga memperlihatkan sejumlah penambahan sepanjang hayatnya, seperti kemampuan untuk membuat panggilan video melalui internet dan ciri penghantaran wang melalui PayPal. Ia juga kemudiannya ditawarkan secara web dan juga aplikasi mudah-alih yang boleh dimuat-turun pada peranti pintar.

Microsoft juga dilihat akan menawarkan Skype sebagai aplikasi panggilan audio dan teks terbina pada sistem operasi Windows 11 yang akan dilancarkan kelak, dan kami menjangkakan bahawa ia akan hadir dengan lebih banyak lagi ciri-ciri baru di masa akan datang.

Zoom

Jika Skype dikatakan aplikasi titik permulaan aplikasi berborak suara melalui Internet, Zoom boleh dikatakan titik permulaan peningkatan populariti dan penggunaan perisian telesidang untuk orang ramai di seluruh dunia.

Populariti Zoom mungkin telah meningkat dengan mendadak sejak permulaan wabak pandemik COVID-19 pada tahun lepas, tetapi tahukan anda bahawa syarikat ini sebenarnya telahpun ditubuhkan sejak 2011, yang mana aplikasinya diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2013?

Pada awalnya, Zoom menawarkan kebolehan untuk 15 orang menghadiri satu sesi telesidang yang kemudiannya dinaikkan sehingga 25 orang dalam satu sesi. Dari segi jumlah pengguna, menjelang bulan ketiga perkhidmatan tersebut beroperasi, Zoom dilihat mempunyai 1 juta pengguna aktif setiap bulan.

Apabila wabak COVID-19 mula menyerang dunia, Zoom memperlihatkan peningkatan jumlah peningkatan sehingga 2 pengguna, yang mana di kemuncak penggunaannya, Zoom mempunyai 300 juta orang yang menggunakan perisian telesidang mereka pada satu-satu masa.

Zoom dilihat sebagai perisian penyelamat untuk mereka yang diarahkan untuk bekerja dari rumah, memudahkan sedikit untuk rakan sekerja dan majikan untuk mengadakan mesyuarat secara digital dan kolaborasi mudah dengan fungsi-fungsi seperti perkongsian skrin.

Zoom juga dilihat memperkenalkan ciri seperti penyulitan hujung-ke-hujung khususnya kerana cara Zoom menyulitkan panggilan telesidang mereka adalah terlalu mudah untuk pihak tidak bertanggungjawab masuk dan mencuri-dengar panggilan yang sedang diadakan.

Populariti Zoom juga telah membuatkan syarikat-syarikat seperti Google dan Microsoft untuk membangunkan perkhidmatan telesidang mereka sendiri, iaitu Google Meet dan Microsoft Team yang bukan sahaja mengambil ilham daripada Zoom, tetapi juga menerapkan perkhidmatan awanan mereka sendiri seperti Google Docs dan Office 365 kedalam perkhidmatan mereka untuk kolaborasi yang lebih mantap lagi.

Clubhouse

Selain daripada Zoom, Clubhouse juga ialah salah satu daripada aplikasi perkhidmatan perbualan audio yang cukup banyak diperkatakan sejak tahun lepas sehingga kini. Dibangunkan pada bulan Mac tahun lepas, ia bermula sebagai aplikasi berborak audio beramai-ramai yang hadir secara eksklusif melalui peranti Apple iPhone.

Clubhouse menggunakan sistem jemputan melalui iMessage pada mulanya, dan keunikannya hadir melalui fungsi panggilan audionya yang tidak boleh dirakam secara dalaman. Cara ia berfungsi adalah seperti perbualan masa nyata yang boleh dilakukan oleh dua orang, ataupun satu kumpulan besar, dan boleh didengari oleh lebih ramai orang lagi yang berada dalam bilik perbualan yang sama.

Clubhouse

Penggunaan Clubhouse dilihat melonjak sejak penghujung tahun lepas dan awal tahun ini apabila sejumlah selebriti dan nama-nama besar dalam dunia teknologi global dilihat menggunakannya, khususnya Elon Musk, Bill Gates dan sebagainya. Mereka menggunakan platform tersebut untuk berborak mengenai topik-topik ringkas untuk seketika, dan sesi tersebut memperlihatkan kemampuan Clubhouse sebagai sebuah platform persidangan digital berasaskan audio yang berjaya.

Dengan sebuah pasukan pembangun yang kecil, Clubhouse akhirnya baru memperkenalkan aplikasi tersebut untuk platform Android baru-baru ini, dan telah memperkenalkan beberapa program baru untuk membolehkan pembangun kandungan untuk mendapat bayaran dengan mencipta kandungan baru di platform tersebut.

Populariti Clubhouse juga dilihat membuatkan platform-platform media sosial seperti Twitter, Facebook dan Discord untuk membangunkan platform telesidang audio mereka sendiri melalui Twitter Spaces, Live Audio Rooms dan Discord Stage Channels untuk memudahkan fungsi berbual dengan orang ramai.

Setakat ini, Clubhouse hanya boleh diakses melalui peranti pintar, dan ia tidak diketahui lagi jika pembangun akan menawarkan perisian desktop untuk mengakses perkhidmatan ini melalui komputer.

Discord

Diperkenalkan pada tahun 2015, Discord ialah sebuah aplikasi berborak teks dan audio yang diperkenalkan untuk memudahkan komunikasi secara teks dan audio diantara golongan gamer, yang mana pada waktu tersebut hadir dengan banyak permainan atas talian seperti World of Warcraft, Final Fantasy XIV, Counter-Strike, Overwatch dan sebagainya.

Discord boleh dikatakan aplikasi yang paling unik diantara semua aplikasi-aplikasi berbual didalam senarai ini kerana ia juga boleh dikatakan sebuah platform media sosial yang merumahkan pelbagai aplikasi pada satu platform sahaja. Satu aplikasi ini merumahkan fungsi-fungsi yang dapat dilihat pada pelbagai aplikasi-aplikasi lain yang kami perlihatkan sebelum ini.

Keunikan utama Discord hadir melalui kumpulan server dan channel mereka yang mengambil ilham daripada IRC yang mana anda boleh menyertai sebanyak mana kumpulan-kumpulan Discord yang anda ingini, dan didalam kumpulan server tersebut, bergantung kepada cara ia dibangunkan, ia hadir dengan sejumlah besar bilik channel yang digunakan untuk berbual mengenai pelbagai jenis topik secara teks dan juga perbualan melalui panggilan.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Discord dibangunkan untuk memudahkan komunikasi diantara pengguna dalam permainan. Komunikasi suara adalah penting untuk permainan-permainan seperti penembak beramai-ramai dan juga MMORPG, dan Discord juga berfungsi sebagai perisian TeamSpeak yang lebih mudah digunakan dengan antaramuka yang lebih menarik.

Bukan itu sahaja, Discord juga menawarkan kebolehan untuk menstrim skrin dan permainan komputer kepada pengguna-pengguna Discord yang lain, dan baru-baru ini, fungsi Discord Live Stage membolehkan pemilik server untuk mengadakan sesi persidangan audio digital seakan-akan sebuah bilik Clubhouse.

Jika anda biasa menggunakan Twitch, aplikasi Discord juga hadir dengan emote ataupun emoji unik yang boleh digunakan untuk menambahkan keunikan setiap server yang diikuti anda. Discord juga hadir dengan pelan premium Discord Nitro yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri tambahan seperti menggunakan emote pada server-server lain, pemilihan nombor ID yang anda ingini, kebolehan memuat naik media pada resolusi dan saiz fail yang tinggi disamping kebolehan untuk menstrim video pada resolusi dan kadar segar semula lebih tinggi.

Populariti Discord dilihat meningkat dengan sangat mendadak sehingga Microsoft dilihat sanggup berbelanja sebanyak $10 bilion untuk mengambil-alih syarikat tersebut, dan menyerapkan aplikasi ini didalam penawaran gaming mereka.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami