Cari @ Amanz

Dua tahun lalu, Harley Davidson LiveWire dilancarkan sebagai motosikal elektrik pertama dari syarikat yang lebih sinonim dengan motosikal berkuasa tinggi, bingit dan mencemarkan alam sekitar. Walaupun menerima pujian dari segi keselesaan menunggangnya, LiveWire dikritik kerana dijual pada harga yang terlalu mahal. Peminat tua mereka pula mengkritik ia tidak sebaik motosikal dengan enjin biasa dan peminat muda pula tidak mempunyai wang untuk membeli.

Pagi ini Harley Davidson LiveWire ONE pula dilancarkan dengan nama yang mengelirukan. Walaupun ia motosikal elektrik generasi kedua dari mereka, ia menggunakan nama ONE. Yang membuatkannya menarik ialah harganya bermula dari $21,999 yang jauh lebih murah berbanding $29,799 LiveWire asal. Dari segi rekaan luara tiada perbezaan dapat dilihat. Tetapi menurut Harley Davidson, ia kini boleh bergerak sehingga 235 km dengan sekali caj di dalam bandar berbanding 177 km sahaja pada model generasi terdahulu.

Ini dicapai walaupun kedua-dua model menggunakan saiz bateri 15.5 kWh. Tiada maklumat mengenai motor elektrik yang digunakan atau prestasi di lebuh raya. Tetapi besar kemungkinan masih lagi motor elektrik 78 kW (105 hp) dan kelajuan maksimum 177 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Strategi jualan LiveWire One juga agak aneh kerana ditawarkan secara atas talian di California, Texas dan New York sahaja terlebih dahulu. Tetapi bagi mereka yang ingin menyokong motosikal elektrik Harley Davidson, anda kini mempunyai dua pilihan model berbanding sebelum ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd