Cari @ Amanz

Awal pagi tadi misi pertama Virgin Galactic membawa penumpang ke angkasa lepas berjaya dengan jayanya. Syarikat angkasa lepas swasta ini berjaya membawa pengasasnya Sir Richard Branson sekaligus menjadikan beliau bilionwan pertama ke angkasa lepas.

Beliau bersama enam lagi anak kapal menaiki kapal angkasa VSS Unity yang terlebih dahulu dibawa oleh kapal induk VMS Eve ke ketinggian 45,000 kaki sebelum roket di buritan menolaknya ke permulaan angkasa lepas. Penumpang VSS Unity kemudian dapat menikmati pengalaman sifar graviti selama 8 minit sebelum kapal angkasa kembali ke bumi dan mendarat seperti sebuah kapal terbang biasa.

Keseluruhan misi mengambil masa hanya sekitar sejam. Penerbangan ke ketinggian 45,000 kaki mengambil masa sekitar 50 minit dengan roket dinyalakan selama 60 saat untuk menghantar VSS Unity ke angkasa lepas. Sayap kapa angkasa kemudian diputar untuk ia kembali ke muka bumi seperti bulu tangkis badminton. Ia kemudiannya mendarat semula tanpa menggunakan enjin seperti sebuah Space Shuttle.

Sir Richard Branson berjaya mengalahkan Jeff Bezos dan Elon Musk, dua lagi bilionwan yang mempunyai syarikat angkasa lepas peribadi. Walaupun kalah kepada Branson, Bezos meninggalkan ucapan tahniah di akuan Instagram milik pengasas kumpulan Virgin. Selepas bersara dari jawatan CEO Amazon minggu lalu, Bezos akan turut pergi ke angkasa lepas menggunakan kapsul sistem New Shepard yang direka oleh syarikat beliau Blue Origin pada 20 Julai hadapan.

Kejayaan membawa jumlah krew penuh VSS Unity ialah kemuncak syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2004 untuk menawarkan pengalaman ke angkasa lepas oleh syarikat swasta. Sejak ditubuhkan sebanyak 600 pelanggan sudah membayar $250,000 sekepala untuk pergi ke permulaan angkasa lepas yang selama ini tiket menelan ratusan juta ringgit oleh agensi angkasa lepas Rusia Roscosmos.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd