Artis Malaysia, Red Hong Yi Berjaya Menjual NFT Pertama Pada Nilai Melangkaui RM320k

Diterbitkan pada July 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak awal tahun ini, kita telah melihat populariti jual-beli NFT meningkat dengan tinggi, sekaligus memudahkan aset digital dijual dan hak dikenal-pasti melalui penggunaan rantaian-blok.

Tidak ketinggalan adalah artis dari Malaysia. Paling terbaru, salah seorang artis dari Malaysia, Red Hong Yi kini telah menjual NFT pertama beliau pada nilai 36.3 ETH, iaitu pada harga melangkaui RM320,000 mengikut kadar tukaran semasa ETH.

Red Hong Yi menyatakan ini merupakan NFT pertama beliau dibawah siri yang dinamakan “Memebank” Siri ini akan memfokuskan kepada rekaan wang kertas yang mengambil inspirasi daripada wang kertas pelbagai negara berbeza.

Pertama dibawah siri berkenaan adalah “Doge to the Moon”. Hasil karya yang terjual ini mengambil inspirasi wang kertas Yuan dari China. Yuan dipilih kerana China yang menjadi pertama dalam sejarah untuk mengeluarkan wang kertas pada era Song Dynasty.

Menariknya juga adalah dimana selain hak digital untuk NFT berkenaan, Red Hong Yi turut menawarkan plat tembaga yang boleh digunakan untuk mencetak karya berkenaan.

Proses bidaan untuk NFT ini telah dilakukan melalui platform Binance NFT Marketplace yang telah diperkenalkan baru-baru ini.

Red Hong Yi mengatakan sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada Mercy Malaysia, dan sebahagian lagi juga akan digunakan untuk projek seni dan sosial dalam menyokong komuniti setempat.

Lanjutan daripadanya, Red Hong Yi turut dijangka memperkenalkan beberapa karya baru dalam bentuk NFT melalui Binance NFT Marketplace dalam bulan-bulan akan datang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami