Ulasan Huawei nova 8i – Tradisi Yang Dikekalkan Dalam Wajah Baru

Diterbitkan pada July 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setiap siri peranti Huawei masing-masing mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Mengenai Huawei nova, ramai yang tahu siri ini lebih dikenali sebagai peranti pintar yang menyasarkan kepada pengguna generasi muda. Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2016, siri ini yang kemudiannya tampil dengan beberapa varian lain telah mendapat tempat di hati para pengguna dek kerana dipenuhi gabungan elemen yang cukup bergaya. Bukan sahaja kemasan yang menarik bahkan nilai tambahnya juga bersesuaian dengan target.

Huawei nova 8i- RM1,299

Tahun ini, Huawei dilihat meneruskan tradisi ini menerusi pengenalan Huawei nova 8i. Bagaimanapun, pengenalannya terhad kepada beberapa pasaran Asia Tenggara sahaja termasuklah Malaysia. Sekilas pandang ia mengingatkan saya kepada rekaan Huawei Mate 30 Pro lengkap dengan modul kamera belakang berbentuk bulat. Sistem kamera kuad-kamera dengan susunan 2 X 2 turut disertakan bersama-sama dengannya. Namun, persoalannya adakah banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Huawei pada model kali ini? Seterusnya, mampukah ia memenuhi keperluan-keperluan yang umum seseorang pengguna? Mari kita lihat dalam artikel ulasan ini.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Huawei Nova 8i
Skrin6.67″ TFT LCD (IPS), FHD+ (2376 x 1080)
PemprosesSnapdragon 662 (11nm)
Cip4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
Cip GrafikAdreno 610
RAM8GB
Muatan Dalaman128GB
Kamera Utama64-Megapixel (f/1.9)
8-Megapixel (f/2.4)
2-Megapixel (f/2.4)
2-Megapixel (f/2.4)
Kamera Swafoto16-Megapixel f/2.0
Bateri4,300mAh 
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari fizikal & Imbasan Wajah
Harga JualanRM1,299

Reka Bentuk

Sekilas pandang, reka bentuknya di sini seakan mengambil inspirasi daripada Huawei Mate 30 Pro – lengkap dengan modul kamera belakang berbentuk bulat. Walau bagaimanapun, pada dasarnya Huawei nova 8i membawakan sesuatu yang berbeza. Mudah untuk disimpulkan bahawa ianya tidak sama dan tidak serupa. Huawei nova 8i menampilkan kemasan yang ringkas dengan panel belakang berkilat. Ditambah lagi dengan, binaan yang ergonomik daripada setiap sudut sisi yang melengkung turut memberikan keselesaan kepada saya ketika memegang peranti.

Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah jenis material yang digunakan? Jawapannya, panel belakang peranti ini dibina dengan bahan berasaskan plastik. Sungguhpun begitu, ia masih mempunyai keindahan tersendiri. Ringkas tapi menarik. Cumanya panel belakang tanpa sebarang tekstur ini terasa agak licin dan berminyak. Bukan itu sahaja ia juga mudah memerangkap kesan kotoran terutamanya kesan cap jari apabila memegangnya secara kerap.

Seperkara lagi, bonggol kamera yang digunakan juga agak besar sehingga membuatkannya sukar untuk diletakkan secara rata pada permukaan meja. Justeru itu, penggunaan kerangka padanya adalah disarankan agar peranti kekal cantik dan tidak mudah tercalar. Sekiranya bajet lari, usah risau Huawei turut menyediakan kerangka silikon yang diberikan secara percuma di dalam kotak pembungkus.

Bahagian Sisi Kanan Peranti

Seterusnya, terdapat pengimbas cap jari yang turut berfungsi sebagai butang kuasa pada sisi kanan. Kemudian, anda juga boleh jumpa butang laras audio pada sisi yang sama. Kedudukan ini boleh dianggap sebagai perkara biasa untuk kebanyakan peranti pintar di pasaran. Ini sebabnya, saya akui tidak kekok untuk menggunakannya walaupun pada dasarnya saya adalah pengguna Samsung Galaxy Note 10+ yang mana butang kuasa dan laras audio berada di sisi kiri.

Mengulas mengenai pengimbas cap jari pula, ianya berfungsi dengan baik dan proses menyahkunci peranti adalah amat pantas. Di mana, jari hanya perlu menyentuh pada sensor berkenaan, kemudian peranti akan dinyahkunci dengan serta-merta. Tapi dengan syarat anda perlu pastikan jari sentiasa bersih dan tidak basah. Sebabnya, ia kelihatan tidak responsif jika jari anda basah atau kotor. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Bahagian Atas Peranti

Sebagai alternatif, sokongan untuk sistem imbasan wajah turut disertakan. Ia juga mampu menyahkunci peranti dengan pantas. Malah, turut boleh digunakan dalam persekitaran gelap dan pelbagai kedudukan peranti – termasuklah secara landskap. Sungguhpun begitu, proses menyahkunci di dalam persekitaran yang gelap sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang pada saya. Sebabnya, skrin akan diterangkan sehingga mengakibatkan mata berasa kurang selesa untuk memandangnya.

Tiada sebarang butang, port sambungan atau lubang yang tersedia pada sisi kiri. Seterusnya, bicu audio 3.5mm turut disertakan dan ia diletakkan pada bahagian atas peranti. Ini pastinya berita yang menggembirakan buat mereka yang masih selesa dengan penggunaan fon telinga jenis berwayar – sama seperti saya sendiri. Akhir sekali talam SIM terletak pada bahagian atas. Ia menyokong slot kad SIM dengan sokongan untuk kad NM Huawei.

Bahagian Bawah Peranti

Bukan itu sahaja, sebuah pembesar suara dan port sambungan USB-C turut diletakkan pada bahagian yang sama. Huawei nova 8i hanya menyokong pembesar suara berasaskan mono. Kebolehannya dilihat masih cukup bagi memberikan kualiti audio yang lantang untuk penggunaan harian kebanyakan pengguna. Namun, sedikit komen harus saya berikan mengenai kedudukannya yang mengakibatkan kadang-kala ia ditutup secara tidak sengaja – terutama sekali apabila dipegang secara landskap sewaktu menonton video atau bermain game. Turut disertakan, sokongan Bluetooth 5.0 bagi memudahkan sambungan ke beberapa peranti lain – misalnya seperti Huawei FreeBuds 4 yang baru dilancarkan tempoh hari.


Paparan

Panel hadapan Huawei nova 8i menggunakan rekaan skrin berlubang. Saya percaya, ramai yang akan melihatnya seakan mempunyai dua kamera swafoto. Pada awalnya, saya juga begitu. Tetapi, jangan tertipu. Sebabnya, hanya terdapat satu kamera swafoto sahaja yang disertakan padanya. Saiz skrin Huawei nova 8i ialah 6.67-inci TFT LCD (IPS) dengan resolusi maksimum FHD+ (2376 x 1080 piksel). Ia juga menyokong paparan warna DCI-P3 untuk kualiti gambar yang lebih baik dan kadar segar semula standard 60Hz.

Seterusnya, peranti ini juga mempunyai skrin dengan permukaan rata. Saiz bezel nampak seimbang pada bahagian sisi dan atas peranti dengan ketebalan sekitar 2.5mm – sekaligus membolehkannya menyajikan nisbah skrin-ke-badan mencapai 94.7%. Cuma, binaan dagu masih lagi agak besar jika dibandingkan dengan bezel sisi. Bagaimanapun, keadaan sebenarnya bukan suatu hal yang mengejutkan. Sememangnya, sudah menjadi lumrah kebanyakan peranti pintar dalam kelas pertengahan memilkinya. Menurut Huawei juga, ketebalannya telah berkurang sekitar 31% berbanding binaan terdapat pada model Huawei nova 7i.

Sokongan Low Blue Light generasi kedua yang disertakan turut membantu dalam mengurangkan pencahayaan biru yang menyumbang kepada masalah kesihatan mata. Menurut Huawei, ianya lebih baik berbanding generasi sebelumnya dengan kebolehan mengurangkan kadar sinaran biru sebanyak 50%. Seterusnya, ia juga masih mampu mengekalkan pencahayaan skrin yang sama seakan warna asal tanpa perubahan ke arah warna kuning melampau – meskipun pada tetapan maksima. Saya telah mencubanya sendiri dan pencahayaan kuning masih kelihatan. Akan tetapi, ianya tidak melampau seperti kebanyakan peranti sedia ada. Pada masa sama, pencahayaan ini turut boleh diubahsuai menerusi tetapan yang disediakan.

Setakat artikel ini ditulis, saya tidak mempunyai masalah yang melampau dengan skrin pada peranti ini. Ia memaparkan visual dengan warna dan ketajaman yang baik. Di mana, ianya cukup terang dan jelas bersama sudut tontonan yang memuaskan. Kandungan skrin juga masih boleh dibaca dengan baik meskipun ketika berada di bawah cahaya matahari secara langsung.

Cumanya, antara gangguan yang agak ketara adalah kewujudan lubang kamera dengan potongan berbentuk pil di sudut kiri atas skrin. Saya rasa sedikit terganggu dengannya terutama sekali apabila menonton kandungan video dalam mod skrin penuh. Seperkara lagi, anda juga tidak boleh menonton Netflix dalam kandungan HD kerana peranti ini hanya menyokong tahap pengesahan Widevine L3 yang mengehadkan paparan video berkualiti SD sahaja.


Antaramuka & Prestasi

Huawei nova 8i menggunakan cip Snapdragon 662 – iaitu chipset lapan teras yang dibina berasaskan teknologi 11nm. Ia seterusnya dipadankan dengan GPU Adreno 610. Sokongan memori pula 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Penggunaan cip berkenaan menjadi topik perdebatan utama apatah lagi ianya dijual dengan tanda harga lebih daripada RM1000. Ramai juga yang beranggapan bahawa ianya agak mahal dan tidak berbaloi untuk mereka. Sedangkan, kebanyakan pesaing lain mampu menjualkan pada harga lebih mesra poket. Bagaimanapun, jika dilihat daripada sudut positif. Ia menawarkan sokongan memori dan storan yang memadai untuk menampung berbagai keperluan kebanyakan pengguna.

Secara keseluruhan, pengalaman penggunaan adalah di tahap purata sahaja. Ringkasnya, anda tidak boleh mengharapkan pengalaman penggunaan yang lancar pada peranti pintar ini. Sebabnya, ia mempunyai masalah sela masa yang ketara – baik ketika digunakan untuk melancarkan atau menukar aplikasi. Jelas menunjukkan ia mengambil masa untuk membuka aplikasi. Pada masa sama, masalah yang sama turut boleh dirasai ketika aplikasi kamera diakses. Di mana, peralihan daripada satu mod ke mod yang lain juga agak mengambil masa. Sungguhpun begitu, ia sesuai sahaja digunakan untuk aplikasi media sosial harian seperti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram, WhatsApp dan lain lain yang seumpama dengannya.

Seterusnya, Huawei nova 8i menggunakan antaramuka EMUI 11 berasaskan Android 10. Perlu diketahui, ia sama sekali tidak mempunyai sebarang aplikasi Google termasuklah Play Store. Begitu juga dengan penggunaan laman YouTube – di mana ia hanya boleh diakses menerusi web sahaja. Oleh itu, anda perlu bergantung sepenuhnya dengan aplikasi Huawei AppGallery bagi memuat turun pelbagai aplikasi yang dimahukan. Ia akan dimuat-turun secara turun secara ‘sideload’ dengan memasang fail APK. Sekiranya, terdapat mana-mana aplikasi yang dimahukan tidak tersenarai menerusi AppGallery. Ia masih boleh dimuat-turun menerusi aplikasi petal search.


Kamera

Seperti saya katakan di perenggan di atas, salah satu tumpuan pada Huawei nova 8i adalah kemampuan kameranya. Di mana, sistem kuad-kamera yang digunakan dilengkapi tetapan sensor 64-Megapixel (f/1.9) (utama) + 8-Megapixel (f/2.4) (sudut ultra-lebar) dengan darjah pandang 120 darjah + 2-Megapixel (f/2.4) (kedalaman) + 2-Megapixel (f/2.4) (makro). Kemudian, kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel (f/2.0).

Kamera ini kesemuanya dilengkapi teknologi AI.  Antara mod-mod kamera yang disertakan pula adalah pelbagai. Misalnya anda boleh jumpa pilihan untuk mod aperture, mod malam, mod portrait, video, mod Panorama, HDR, High-res, Super Macro, pelekat dan time-lapse. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 1080/30fps menggunakan kedua-dua belah kamera. Tiada sokongan untuk penstabilan pada video.

Mengulas lanjut mengenai hasilnya, Huawei nova 8i mampu sahaja mengambil gambar yang baik pada waktu siang. Ia menunjukkan hasil gambar yang baik selagi ia menerima pencahayaan yang cukup. Ringkasnya, ia bergantung kepada keadaan pencahayaan persekitaran. Namun, ada masanya kualiti berada di tahap kurang memuaskan – di mana penghasilan warna sedikit kurang menyerlah. Namun begitu, ianya masih boleh diterima untuk kebanyakan situasi.

Kelemahan lain mula kelihatan pada gambar yang diambil dalam pencahayaan rendah. Ia jelas menunjukkan keperincian pada imej menjadi lembut dan terdapat masalah hingar yang agak ketara. Sebagai tambahan, kameranya turut dilengkapi sokongan mod malam terbina untuk hasil gambar malam lebih baik. Tapi sayangnya, masalah hingar masih jelas kelihatan untuk beberapa situasi. Masa tangkapan juga dilihat mengambil masa kira-kira enam saat.

Sistem zum pula boleh mengambil gambar yang baik sehingga 8X. Kemudian, mod sudut-lebar dilihat sekadar memberikan hasil yang sederhana kerana hasilnya turut bergantung kepada keadaan pencahayaan persekitaran. Disebabkan, lensa makro yang digunakan hanyalah bersaiz 2-Megapixel. Maka, tidak banyak yang dapat diharapkan daripada kamera ini. Imej yang dihasilkan kelihatan pecah dan tidak begitu jelas – dalam erti kata mudah, ia hanya sekadar gimik semata-mata.


Bateri

Bater yang disertakan adalah sebesar 4,300mAh. Boleh dikatakan agak rendah berbanding sejumlah pesaing terdekat. Secara purata saya mampu mendapatkan bacaan SOT sekurang-kurangnya 8-9 jam dalam penggunaan sederhana. Ini adalah bergantung kepada LTE sepenuhnya disebabkan saya tidak mempunyai sambungan WiFi di rumah. Apabila kehabisan bateri, peranti ini boleh dicas semula menggunakan pengecas 66W yang disertakan dalam kotak. 

Menurut Huawei, peranti ini boleh dicaj sehingga 60% dalam hanya 17 minit dan pengecasan penuh pula hanya mengambil masa 38 minit. Sungguhpun begitu, saya tidak boleh mengujinya secara khusus kerana pengecas yang disediakan untuk unit ulasan ini hanya berkuasa 40W. Ia dilihat pantas dengan waktu mengecas semula kurang daripada satu jam.


Pesaing

Huawei nova 8iRedmi 9TOppo A74 4G
6.67″ TFT LCD (IPS), FHD+ (2376 x 1080)6.53” IPS LCD, FHD+ (1080 x 2400)6.43″ AMOLED, FHD+ (2376 x 1080)
Snapdragon 662 (11nm)
4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
Snapdragon 662 (11nm)
4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
Snapdragon 662 (11nm)
4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
8GB4GB 6GB RAM
128GB ROM 64GB/128GB ROM128GB ROM
Kamera Utama
64-Megapixel (f/1.9) – Utama
8-Megapixel (f/2.4) – Ultra-lebar
2-Megapixel (f/2.4) – Kedalaman
2-Megapixel (f/2.4) – Makro
Kamera Utama
48-Megapixel (f/1.79) – Utama
8-Megapixel (f/2.2) – Ultra-lebar
2-Megapixel (f/2.4) – Kedalaman
2-Megapixel (f/2.4) – Makro
48-Megapixel (f/1.7) – Utama
2-Megapixel (f/2.4) – Kedalaman
2-Megapixel (f/2.4) – Makro
Kamera Hadapan
16-Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.05
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.4
TiadaTiadaTiada
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
4,300mAh (Berwayar 66W)6000mAh (Berwayar 18W)5000mAh ( SuperVOOC 2.0)
Harga RM1299Harga RM599Harga RM899

Kesimpulan

Sehingga hari ini, tindakan Huawei yang menggunakan cip Snapdragon 662 ini masih menimbulkan tanda tanya. Pada hemat saya secara peribadi, jika prestasi adalah tumpuan utama – makanya ia seperti tidak berbaloi untuk dimiliki. Ia berikutan, Huawei nova 8i mempunyai masalah prestasi dengan sela masa yang agak ketara. Bagaimanapun, tidak dinafikan ia masih peranti yang mempunyai kemasan nampak premium dan sedap di dalam tangan. Masih terdapatnya bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari yang pantas, kamera dengan hasil yang boleh diterima untuk kebanyakan situasi dan bateri dengan sokongan pengecasan pantas. Menjadi penguat pada peranti pintar ini. Bagi yang berminat, ia dijual dengan tanda harga RM1299. Boleh dibeli menerusi beberapa saluran seperti kedai atas talian Huawei, Lazada, Shopee dan Senheng.


Pro

  • Skrin besar – selesa untuk kegunaan kebanyakan pengguna.
  • Rekaan plastik tapi masih mempunyai keindahan tersendiri.
  • Kamera yang agak baik – bergantung kepada keadaan pencahayaan persekitaran.
  • Pengimbas cap jari & imbasan wajah yang pantas.
  • Bateri dengan pengecasan pantas yang baik.

Kontra

  • Harga mahal untuk kategori peranti ini.
  • Tatalan terasa kurang lancar – Masalah sela masa yang ketara.
  • Audio tidak seimbang.
Beli Dari Lazada : Huawei Nova 8i
Beli Dari Shopee : Huawei Nova 8i

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami