Carian
Plastik Yang Terlerai Dalam Masa Seminggu Dibangunkan Di China
July 12, 2021 Effi Saharudin

Plastik mendatangkan masalah kerana ia kini membentuk permukaan sampah terapung yang lebih besar daripada Texas di tengah-tengah lautan Pasifik dan plastik mikro boleh ditemui dalam makanan. Kesan jangka panjang termakan plastik mikro masih belum diketahui tetapi plastik terapung telah membunuh banyak haiwan dan burung laut. Pelbagai alternatif dihasilkan dam di China plastik yang terlerai dalam masa 7 hari telah menjadi realiti.

Plastik lebih mesra alam ini dicipta oleh Liang Luo dari Huazhong University of Science and Technology. Ia terlerai dalam masa tujuh hari selepas didedahkan kepada cahaya matahari dan udara. Selepas terlerai tiada sisi plastik mikro tetapi sekadar meninggalkan bahan asid succinic yang boleh dikitar semula dengan selamat.

Kerana ia terlerai dengan mudah, ia tidak boleh digunakan untuk plastik pasar raya atau tempat simpanan makanan. Aplikasinya mungkin adalah ganti kepada plastik bungkusan produk dalam kotak dan komponen dalam peranti elektronik yang tidak terdedah kepada cahaya matahari.

Ini sedikit sebanyak mengurangkan lambakan sisa plastik elektronik dan bungkusan yang meningkat ketika wabak kerana keperluan pembelian atas talian. Walaupun plastik mesra pengguna ini sudah dihasilkan, penggunaannya secara komersial masih belum dilakukan kerana memerlukan kajian yang lebih menyeluruh. Kajian telah diterbitkan dalam jurnal Journal of the American Chemical Society.

Sumber New Atlas

Komen