Cari @ Amanz

Kenderaan elektrik ialah masa depan yang tidak lagi boleh diabaikan oleh pengeluar kenderaan. Pembaca Amanz pasti menyedari jenama besar seperti Honda, Lotus, Bentley, Volvo dan Hyundai kesemuanya mempunyai perancangan melakukan transisi penuh ke kenderaan elektrik dalam masa satu generasi sahaja. Bagi syarikat petroleum, pelaburan dalam teknologi bahan api masa hadapan juga perlu untuk kelangsungan masa hadapan.

Setel Petronas

Menurut laporan Bernama, PETRONAS dan UKM telah membangunkan teknologi menghasilkan hidrogen menerusi teknologi elektrolisis. Pembangunannya adalah hasil usaha kerjasama antara syarikat petroleum negara dan institut pengajian ini sejak 2019. Sistem elektrolisis telah dipatenkan November tahun lalu menghasilkan lebih banyak hidrogen dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah berbanding sistem sedia ada.

Sebuah fasiliti menghasilkan hidrogen juga telah dibina di PETRONAS Research Sdn Bhd (PSRB) berdasarkan teknologi elektrolisis yang dibagunkan. Pada waktu ini ia mampu menghasilkan 70 kilogram hidrogen sehari yang kemudiannya digunakan sebagai bahan api untuk kenderaan dan dron yang diuji di PSRB.

Selain sistem elektrolisis, dua lagi sistem sedang dibangunkan dan menanti untuk dipatenkan. Pembangunan teknologi menghasilkan hidrogen ialah salah satu usaha PETRONAS untuk mencapai tahap sifar bersih karbon menjelang 2050. Ini ialah sasaran yang mencabar bagi syarikat petroleum yang penggunaannya sering dikaitkan dengan pembebasan karbon dioksida ke udara yang tinggi.

Bahan api hidrogen adalah alternatif mesra alam yang dilihat mempunyai masa depan yang cerah. Kenderaan sel hidrogen boleh diisi semula dalam masa 15 minit berbanding penggunaan sel bateri yang mengambil masa beberapa jam. Kenderaan sel hidrogen juga mampu bergerak lebih jauh dan pada masa yang sama sekadar menghasilkan air selepas tindak balas berlaku untuk menjana kuasa elektrik pada kenderaan.

Di masa hadapan tidak mengejutkan jika stesen Petronas yang menjual petrol dan diesel akan secara berperingkat digantikan dengan stesen yang menjual bahan api hidrogen.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd