Cooler Master Orb X Ialah Kubu Gaming Moden Yang Sesuai Untuk Bangsawan Yang Mahukan Semuanya

Diterbitkan pada July 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kubu gaming adalah sebuah konsep yang nampaknya semakin banyak memperlihatkan populariti kebelakangan ini, khususnya apabila ia dilihat dipopularkan oleh jenama Predator, melalui kubu gaming mereka sendiri, iaitu Predator Thronos.

Cooler Master, sewaktu acara Cooler Master Summer Summit mereka telah memperkenalkan kubu mereka sendiri yang dinamakan Cooler Master Orb X. Orb X hadir dengan rekaan yang agak menarik yang mana ia dilihat sebagai menyerupai sebuah pod dari sebuah kapal angkasa yang futuristik, dan ia terdiri daripada bahagian rangka, tempat duduk dengan kerusi ergonomik, bahagian pengawal, tempat letak papan kekunci dan tetikus, dan juga pemegang paparan skrin.

Bermula dengan bahagian tempat duduk, ia hadir dengan kebolehan untuk dikendurkan ke belakang, dan juga tempat letak tangan yang boleh diubahsuai mengikut kesesuaian pengguna. Beralih kepada tempat letak papan kekunci dan tetikus pula, ia hadir dengan rekaan yang mana keseluruhan tempat letak tersebut boleh digunakan sebagai sebuah pad tetikus.

Beralih kepada bahagian menggantung paparan, Orb X menyokong beberapa konfigurasi yang agak menarik. Pertama ialah jika anda mempunyai sebuah paparan bersaiz 34 inci, anda boleh menggantung satu paparan tersebut pada tempat tersebut, dan jika anda ingin menggunakan Orb X sebagai sebuah kokpit perlumbaan digital, anda boleh menggantung tiga paparan bersaiz 27 inci pada satu masa tanpa masalah.

Satu perbezaan ketara diantara Cooler Master Orb X dan Predator Thronos ialah ia tidak hadir dengan PC terbina didalamnya, tetapi menariknya ia mempunyai sebuah ruang di belakang kubu tersebut untuk memuatkan sebuah PC, dan juga palam-palam USB dan input lain terbina yang boleh digunakan untuk memudahkan penyambungan aksesori komputer anda.

Buat masa ini Cooler Master masih belum mengesahkan bilakah mereka akan mula menjual kubu gaming ini, tetapi sebuah pengumuman khusus akan diperlihatkan tidak lama lagi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami