Cooler Master Motion 1 Ialah Kerusi Gaming Dengan Ciri D-Box Seakan-Akan Dalam Panggung Wayang 4D

Diterbitkan pada July 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kerusi gaming kini hadir dalam pelbagai jenis bentuk dan variasi, tetapi secara lazimnya kerusi-kerusi ini memfokuskan kepada keselesaan pengguna ataupun akan hadir dengan rekaan unik yang biasanya mempunyai gimik tersendiri.

Cooler Master yang sebelum ini telahpun memperkenalkan kerusi gaming sebelum ini baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah lagi kerusi gaming baru yang hadir dengan gimik yang lebih unik berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh kerusi-kerusi gaming yang lain. Kerusi gaming Cooler Master Motion 1 ialah kerusi dengan rekaan gaming yang hadir dengan ciri D-Box seakan-akan dalam panggung wayang 4D.

Perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kerusi ini ialah bahagian kotak yang dapat diantara tapak dan tempat duduk kerusi Motion 1 ini yang merumahkan modul D-Box tersebut. Menurut Cooler Master, kerusi Motion 1 ini mampu bergetar meggunakan teknologi haptik D-Box tersebut untuk memberikan pengalaman gaming dan juga tontonan filem yang lebih mendalam seakan-akan anda berada di pawagam 4D sendiri di rumah anda.

Selain daripada butiran rekaan kerusi ini dan penggunaan teknologi getaran haptik ini, tidak begitu banyak butiran yang diketahui mengenai kerusi gaming baru keluaran Cooler Master ini, khususnya mengenai bagaimana ia akan mengenalpasti permainan dan filem yang akan disokong oleh kerusi ini buat masa ini.

Dari segi rekaan, Cooler Master Motion 1 nampaknya hadir dengan keselesaan yang biasa dilihat pada kerusi-kerusi gaming premium, seperti sokongan lumbar, penggunaan bahan premium yang selesa diduduki walaupun untuk berjam-jam lamanya, dan juga kebolehan untuk mengubahsuai tempat letak tangan ke posisi yang lebih selesa.

Walaupun buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah kerusi Cooler Master Motion 1 ini akan memasuki pasaran tempatan, kami diberitahu bahawa ia akan ditawarkan di pasaran tempatan kelak pada harga RM8999, menjadikannya kerusi gaming paling premium yang akan tiba di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami