ASUS Memperlihatkan Komponen Dan Aksesori Komputer Bertemakan Demon Slayer

Diterbitkan pada July 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika sebelum ini ASUS memperkenalkan komponen-komponen komputer mereka dengan tema Mobile Suit Gundam, syarikat teknologi daripada Taiwan tersebut kini dilihat menunggang populariti sebuah lagi siri anime iaitu Demon Slayer.

ASUS dilihat memperkenalkan sejumlah besar produk dan aksesori komputer bertemakan anime yang sangat popular ini, dan ia termasuklah dari komputer riba, ke kad grafik dan juga penyejuk CPU.

Pertama ialah ASUS Vivobook Pro 14 yang hadir dengan tema watak utama Demon Slayer, Kamado Tanjiro. Ia kelihatan seperti sebuah komputer riba ASUS Vivobook Pro 14 biasa, tetapi di tepi bahagian pad sesentuh komputer riba ini ialah lakaran watak tersebut yang dapat diperlihatkan.

Dari segi spesifikasi, komputer riba ini hadir dengan paparan OLED 14 inci dengan resolusi 2.8K, sokongan gamut warna DCI-P3 dan 10bit dengan kadar segar semula 90Hz. Ia juga dikuasakan CPU AMD Ryzen 7 5800H.

Bersama-sama dengan komputer riba Vivobook Pro 14 ini, ASUS juga menawarkan dua aksesori bertemakan watak Kamado Tanjiro, termasuklah sebuah tetikus dan juga fon kepala dari siri aksesori gaming The Ultimate Force (TUF). Untuk pengguna yang lebih menggemari warna merah jambu, ASUS juga menawarkan aksesori-aksesori sama yang bertemakan watak Kamado Nezuko, iaitu adik kepada Tanjiro.

Bagi anda yang ingin membangunkan komputer dengan tema Agatsuma Zenitsu, ASUS turut memperkenalkan papan induk, kad grafik dan penyejuk CPU cecair yang bertemakan watak tersebut. Ini termasuklah papan induk ASUS TUF B560 Plus Gaming, ASUS TUF GeForce RTX 3060 O12G Gaming dan ASUS TUF Gaming LC 240 ARGB.

Dalam pada itu, ASUS turut memperlihatkan dua buah penghala WiFi dengan tema watak-watak Demon Slayer juga, termasuklah ASUS RT-AX86U yang bertemakan Agatsuma Zenitsu dan ASUS RT-AX82U yang bertemakan watak Hashibara Inosuke.

Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi samada produk-produk ASUS bertemakan Demon Slayer ini akan masuk ke pasaran Malaysia seperti produk bertemakan Gundam mereka ataupun tidak.

Sumber: Weibo

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami