Setiap kali apabila seseorang individu ditangkap atas kesalahan jenayah, gambar mugshot akan diambil dan dimasukkan ke dalam pangkalan data pihak polis. Secara tradisinya gambar diambil dari hadapan dan sisi sahaja. Tetapi wajah manusia tidak wujud pada dua paksi ini sahaja. Akibatnya proses pengecaman suspek dalam jenayah sukar dilakukan oleh saksi yang ingin membantu siasatan.
University of Birmingham yang terletak di UK telah membangunkan sistem pengecaman wajah yang mengambil gambar secara tiga dimensi. Saksi kemudiannya boleh memutarkan gambar secara manual untuk melihatnya dari sudut tertentu.
Dalam ujian yang melibatkan 3000 sukarelawan, mereka diminta melihat video jenayah yang sedang berlaku. Mereka kemudian diminta mengecam suspek berdasarkan gambar hadapan sahaja, sisi sahaja dan dengan sistem gambar 3D baharu. Ketepatan mengecam suspek adalah lebih tinggi di kalangan sukarelawan yang menggunakan sistem gambar 3D.
Sistem 3D ini masih sekadar ujian sahaja untuk tujuan akademik. Tetapi ia membuktikan ia boleh digunakan untuk dunia sebenar. Kertas kajian telah diterbitkan dalam jurnal Nature.