Cari @ Amanz

OnePlus Nord 2 5G akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Julai hadapan. Beberapa spesifikasi mengenainya juga telah tertiris ke arena web. Pada mulanya, OnePlus telah mengesahkan telefon pintar ini akan dilengkapi cip MediaTek Dimensity 1200. Kalau diikutkan, ia boleh menjadi telefon pintar OnePlus yang terawal menggunakan cip pemprosesan daripada MediaTek. Ia berikutankan, kebanyakan telefon pintar OnePlus sebelum ini dilengkapi cip daripada Qualcomm Snapdragon sahaja.

Dalam perkembangan terkini, OnePlus dilihat berkongsi satu lagi maklumat lain yang berkaitan sokongan panel hadapannya pula. Di mana, OnePlus Nord 2 5G akan menampilkan skrin Fluid AMOLED bersaiz 6.43-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Di samping itu, paparan ini juga turut menyokong piawaian warna HDR10+ yang boleh dimanfaatkan untuk kualiti maksimum sesebuah kandungan. Namun apa yang menjadi tanda-tanya sekarang hanyalah sokongan resolusi pada skrin berkenaan.

Meskipun, tiada sebarang butiran khusus yang diberikan. Tetapi, kita boleh menyasarkan ada kemungkinan besar skrinnya akan dilengkapi resolusi FHD+. Tidak habis di situ, ia juga dipercayai hadir dengan sokongan skrin penuh bersama sebuah lubang kamera selfie tunggal pada bucu atas kiri. Ini sahaja maklumat berkaitan spesifikasi peranti yang diketahui buat masa ini. Mungkin kita mendengar lebih lanjut mengenainya dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : OnePlus India

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd