Lenovo ialah jenama teknologi yang lazimnya dikenali untuk komputer-komputer riba ThinkPad mereka, tetapi mereka juga membina komputer-komputer desktop yang digunakan untuk tujuan perindustrian dan profesional. Terkini, mereka telah melancarkan siri komputer terbaru mereka, iaitu Lenovo ThinkStation P350 untuk tujuan tersebut.

Keunikan utama Lenovo ThinkStation P350 hadir melalui tiga saiz komputer yang berbeza yang ditawarkan. Ia hadir dalam saiz besar, sederhana dan kecil yang dinamakan Tower, Small Form Factor dan Tiny. Corak penggunaan komputer-komputer ini juga bergantung kepada saiz komputer yang digunakan, yang menjadikannya sebuah siri komputer yang agak unik.

ThinkStation P350 Tower dan Small Form Factor hadir dengan rekaan komputer bersaiz besar dan sederhana, dan dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core generasi ke-11 ataupun Intel Xeon terbaru, dan hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA RTX A5000 dengan bekalan kuasa sehingga 750W untuk mereka yang bekerja dalam industri profesional kreatif yang memerlukan kuasa perkomputeran yang kuat untuk mencipta objek pengolokan, mengedit video beresolusi tinggi dan sebagainya.

ThinkStation P350 Tiny pula hadir dengan rekaan yang cukup padat sekali yang boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan berbeza seperti komputer pejabat biasa, komputer yang mengendali jualan kedai dan sebagainya. Ia dikuasakan pilihan CPU Intel generasi ke-11, menjadikannya sebuah komputer desktop kecil yang cukup berkuasa untuk pelbagai jenis kegunaan.

Siri komputer Lenovo ThinkStation P350 ini dijangka akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada penghujung bulan Julai ini.