Cari @ Amanz

Penawaran TWS atau nama lainnya True Wireless Stereo daripada Amazfit, bukanlah sesuatu yang baharu. Sebabnya, mereka telah sedia hadir dengan beberapa TWS tersediri sebelum ini menerusi pengenalan Amazfit PowerBuds dan Amazfit ZenBuds. Kedua-duanya memfokuskan kepada kegunaan kecergasan – ia didatangkan dengan sejumlah sensor terbina sesuai untuk menjejak aktiviti kecergasan seperti sensor kadar degupan jantung dan bantuan untuk tidur yang nyenyak.

Amazfit PowerBuds Pro

Pada tahun ini, mereka memperkenalkan Amazfit PowerBuds Pro pula. Kalau diikutkan, ini merupakan model TWS mereka yang ketiga dan dilengkapi penawaran spesifikasi lebih baik. Dari segi rekaan, ia menampilkan gabungan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai bersama pod pengecas yang berbentuk segi empat. Ia juga menggunakan kemasan matte menarik yang dihiasi dengan dua tona warna – seperti kelabu pada bahagian dalam dan putih pula di bahagian luar. Berat pula sekitar 6.7 gram untuk setiap fon telinga.

Seterusnya, tumpuan utama pada fon telinga ini adalah sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) yang terdiri dengan empat aras pengurangan hingar – termasuklah mod penyesuaian secara automatik dikenali sebagai Mod Thru. Amazfit PowerBuds Pro mempunyai sebanyak enam mikrofon kesemuanya – yang menampilkan tiga mikrofon untuk setiap satu fon telinga. Ianya terdiri dengan dua mikrofon digital dan satu mikrofon untuk panggilan. Sokongan pembatalan hingar berasaskan AI padanya sangat membantu dalam mengurangkan hingar daripada bunyi angin sehingga 40dB dan bunyi persekitaran pula sehingga 35db.

Ia juga bukan sekadar fon telinga nirwayar biasa. Tetapi, mampu untuk menjejaki pelbagai data seperti kadar degupan jantung, kiraan langkah, jumlah kalori terbakar dan banyak lagi. Terdapat juga ciri dikenali sebagai Motion Beat Mode yang membolehkan kelantangan audio menjadi lebih kuat secara automatik bergantung kepada pergerakan – misalnya seperti bersenam.

Bateri yang disertakan mampu beroperasi selama 30 jam berterusan jika ANC dimatikan. Jika sebaliknya, ia boleh bertahan maksimum 19 jam dengan pod pengecas. Lain-lain spesifikasi termasuklah – pelindingan IP55, menyokong pengesanan automatik, kawalan sesentuh dan banyak lagi. Amazfit PowerBuds Pro dijual pada harga $149.99 (~RM623).

Sumber : Amazfiz Global

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd