Siri Realme GT Master Edition Akan Dilancarkan Pada 21 Julai 2021

Diterbitkan pada July 14, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Enggan terus membiarkan ramai pihak terus berteka-teki, Realme dalam satu perkongsian di Weibo mendedahkan tarikh pelancaran rasmi untuk siri Realme GT Master Edition. Mereka menjadualkan acara pelancarannya pada 21 Julai hadapan yang akan berlangsung di China. Realme juga sekali lagi bekerjasama dengan pereka Jepun, Naoto Fukasawa untuk penghasilan peranti tersebut.

Ia sudah pasti akan menampilkan kemasan lebih eksklusif seperti mana yang boleh dilihat pada peranti Realme di bawah edisi Master Edition sebelum ini. Rekaannya juga telah diperlihatkan sepenuhnya menerusi beberapa imej pengolokan tersebar. Di mana, ia akan didatangkan dalam beberapa kemasan berbeza seperti binaan berasaskan matte biasa dan kulit dengan corak yang unik.

Pada masa sama, CEO Realme India iaitu Madhav Sheth turut tidak ketinggalan untuk sama-sama mengacah mengenai kehadirannya menerusi ciapan di Twitter. Untuk spesifikasi, Realme GT Master Edition dijangka hadir dengan skrin AMOLED 6.55-inci, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman 256GB, bateri 4,500mAh dan sistem tri-kamera dengan sensor utama 50-Megapixel.

Selain itu, terdapat desas-desus mengatakan Realme juga berkemungkinan besar akan mengumumkan model Realme GT Explorer Edition bersama-sama dengannya. Spesifikasinya turut telah tertiris menunjukkan bahawa ia dipercayai menggunakan skrin 6.43-inci AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga akan dilengkapi bateri sebesar 4,200mAh, tri-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel dan kamera hadapan 32-Megapixel. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan.

Sumber : MySmartPrice

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami