Honor nampaknya dalam persediaan untuk mengadakan sebuah acara khas pada bulan hadapan. Dalam satu kenyataan, memetik laporan ringkas Android Authority, acara yang dinamakan sebagai HONOR Global Press Conference itu dijadualkan bakal berlangsung pada 12 Ogos 2021.

Sungguhpun begitu, Honor dikatakan tidak berkongsi sebarang informasi lanjut mengenainya – termasuklah tempat dan masa pelancaran. Malah, poster yang disediakan juga tidak menunjukkan sebarang bayangan mengenai produk yang bakal diumumkan.
Namun sumber menyasarkan, terdapat kebarangkalian tinggi untuk siri Honor Magic 3 diumumkan pada tarikh tersebut – memandangkan desas-desus mengenainya kerap diperkatakan sejak kebelakangan ini. Ia bakal menjadi peranti dengan janaan cip Snapdragon 888 Plus sepertimana yang telah disahkan oleh Honor. Tidak ketinggalan, Honor turut mengesahkan yang mana mereka akan menyertakan kembali sokongan Google Mobile Services pada peranti keluarannya.

Di samping itu, Honor turut dijangka bakal melancarkan siri Honor 50 versi global pada acara berkenaan kelak. Buat masa ini, ia masih diperingkat spekulasi awal semata-mata. Masih tidak diketahui, sejauh mana kebenaran untuk spekulasi ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya.
Sumber : Android Authority