Netflix Gaming Dijangka Diperkenalkan Dalam Tempoh Setahun Lagi

Diterbitkan pada July 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Netflix, syarikat perkhidmatan penstriman yang dikenali untuk katalog siri televisyen dan filem mereka kini dilihat bakal mengembangkan sayap mereka ke arena gaming pula, menyertai syarikat-syarikat seperti Google, Facebook, Microsoft dan NVIDIA yang telahpun mula menawarkan perkhidmatan menstrim permainan video.

Perkara ini dilihat daripada pengambilan Mike Verdu sebagai Timbalan Presiden Pembangunan Permainan Video baru-baru ini. Beliau meninggalkan jawatan yang serupa di Facebook, yang mana beliau bertanggungjawab untuk menyambungkan syarikat-syarikat pembangun permainan dan kandungan seumpamanya ke Oculus, syarikat peranti realiti maya milik Facebook.

Netflix

Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Netflix akan mula menawarkan pelbagai produk selain daripada penstriman video kelak, seperti podsiar, gaming dan sebagainya. Pengambilan Mike Verdu ke jawatan tersebut dilihat sebagai satu petanda yang serius bahawa Netflix sedang mula menyebarkan sayap mereka ke sektor-sektor hiburan yang lain.

Buat masa ini, tiada butiran khusus ataupun lengkap yang diketahui mengenai usaha baru ini, tetapi laporan Bloomberg mengatakan bahawa Netflix menjangkakan untuk memperlihatkan produk baru ini sekitar tahun 2022 kelak, yang mana mereka akan menawarkan perkhidmatan penstriman gaming dalam aplikasi Netflix yang sama, memisahkannya melalui kategori yang berbeza sahaja.

Ia juga mengatakan bahawa perkhidmatan penstriman permainan video ini tidak akan hadir dengan harga langganan yang berbeza, yang mana jika ia adalah benar, akan membolehkan pelanggan Netflix untuk mendapat kandungan percuma tanpa perlu melakukan apa-apa langsung tidak lama lagi.

(Sumber: Bloomberg)

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami