Razer baru-baru ini telah mengemaskini komputer riba gaming terbesar mereka, Razer Blade 17 dengan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan juga NVIDIA. Ia juga hadir dengan sejumlah kemaskini baru yang menjadikannya sebuah peranti pengganti desktop yang paling berkuasa di pasaran.
Bermula dengan paparan, Razer Blade 17 dilengkapi dengan paparan bersaiz 17.3 inci dengan resolusi setinggi 4K dengan kadar segar semula 120Hz yang mempunyai ciri sesentuh terbina. Rangka komputer riba ini diperbuat daripada logam yang disalut dengan bahan yang mengurangkan kesan cap jari daripada melekat pada permukaan komputer riba ini.

Dari segi komponen dalaman, Razer Blade 17 dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, sehingga CPU Intel Core i9-11900H, pilihan memori DDR4 sehingga 32GB dan storan dalaman SSD NVMe PCIe sebesar 1TB. Walaupun ia hadir dengan rekaan yang agak nipis, komputer riba ini masih lagi dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 sehingga pilihan model GeForce RTX 3080 yang mampu menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi dan tetapan yang tinggi.

Selain daripada itu, Razer Blade 17 juga dilengkapi dengan webcam terbina pada resolusi Full HD untuk pengalaman sesi telesidang yang membuat anda kelihatan lebih elok berbanding dengan webcam terbina yang lain. Razer juga telah mengemaskini sistem penyejukan mereka untuk memastikan komputer riba ini berfungsi pada kadar optimum tidak kira apa tugasan anda.
Razer Blade 17 kini hadir di pasaran-pasaran terpilih pada harga bermula $2,399 (~RM9600). Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi jika ia akan ditawarkan di pasaran Malaysia secara rasmi seperti perkakasan dan aksesori Razer yang lain.