Beberapa bulan lalu, ASUS telah memperkenalkan sejumlah besar siri komputer riba gaming yang hadir dalam pelbagai saiz dan bentuk dan mempunyai spesifikasi yang boleh dikatakan cukup berkuasa sekali.
Salah satu daripada komputer riba tersebut ialah ASUS ROG Zephyrus M16, komputer riba gaming 16 inci yang nipis dan ringan dan hadir dengan komponen-komponen dalaman yang cukup berkuasa sekali.

Bermula dengan paparan ROG Zephyrus M16 ini, ia dilengkapi dengan paparan IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan nisbah paparan 16:10 dengan kadar segar semula 165Hz yang juga menyokong teknologi Adaptive Sync dengan pengesahan Pantone yang menjanjikan olahan warna yang lebih ranggi.

Dari segi komponen dalaman, model ROG Zephyrus M16 yang akan ditawarkan di Malaysia akan dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-11900H, memori DDR4 sehingga 32GB dan storan SSD NVme PCIe sebesar 2TB. Bagi mereka yang memerlukan storan yang lebih banyak, komputer riba ini juga menawarkan satu slot pengembangan storan M.2 tambahan untuk anda gunakan.
ROG Zephyrus M16 juga menawarkan pengguna dua model kad grafik yang boleh didapati, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 3060 dan juga NVIDIA GeForce RTX 3070, yang mampu menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi Full HD dah QHD masing-masing pada kadar segar semula tinggi tanpa begitu banyak masalah.

Menurut ASUS Malaysia, untuk penawaran pasaran tempatan, setiap pembelian ASUS ROG Zephyrus M16 ini akan tiba dengan beg galas ROG, tetikus ROG Chakram dan juga pengecas 100W Type-C secara percuma.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa ROG Zephyrus M16 ini hadir dalam dua konfigurasi yang boleh dibeli. Model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 boleh dibeli bermula hari ini, manakala model dengan RTX 3070 akan ditawarkan pada bulan Ogos kelak.
- ASUS ROG Zephyrus M16 (16GB RAM, RTX 3060) – RM8999
- ASUS ROG Zephyrus M16 (32GB RAM, RTX 3070) – RM11,499