Cari @ Amanz

Harga Jualan Samsung Galaxy Watch4 Tertiris Awal

Link Copied!

Samsung Galaxy Watch4 bakal menjadi model baharu di bawah rangkaian peranti boleh-pakai Samsung. Pelbagai desas-desus mengenainya telah kedengaran termasuklah informasi berkaitan rekaannya yang diperlihatkan sepenuhnya dalam beberapa imej tular. Dalam perkembangan terkini, harga jualannya pula dikatakan telah tertiris menerusi perkongsian di laman Amazon Kanada.

Memetik laporan beberapa sumber, siri Samsung Galaxy Watch 4 boleh didapati dalam empat saiz berbeza iaitu 40mm, 42mm, 44mm dan 46mm. Samsung Galaxy Watch4 dengan saiz 40mm akan mempunyai skrin berukuran 1.19-inci dan harga jualan sekitar CAD 309.85 (~RM1,036) . Sementara itu, Samsung Galaxy Watch4 dengan saiz 44mm pula akan dilengkapi skrin 1.36-inci dan dijual pada CAD 346.82 (~RM1,160).

Untuk Samsung Galaxy Watch4 Classic pula, ianya akan didatangkan dalam dua pilihan saiz iaitu 46mm dan 42mm. Turut difahamkan, kedua-duanya akan dilengkapi penggunaan bezel kawalan berputar. Versi 46mm akan mempunyai skrin bersaiz 1.35-inci, bateri bersaiz 361mAh dan dijual pada CAD 463.88 (~RM1,551). Kemudian, Samsung Galaxy Watch4 Classic (42mm) dipercayai hadir dengan tanda harga CAD 427.73 (~RM1,430).

Samsung Galaxy Watch4 Classic

Di samping itu, ia turut memperlihatkan sejumlah spesifikasi pada jam tangan pintar berkenaan. Misalnya, Samsung Galaxy Wacth4 dijangka hadir dengan beberapa ciri kecergasan seperti analisis komposisi badan, V02 Max dan pemantauan dalam oksigen darah. Ia juga dikatakan menyokong NFC, GPS, Bluetooth dan Wi-Fi.  

Sumber : Android Authority, Gizmochina


Komen ()