Ciri tangkapan layar memanjang sudah wujud pada beberapa peranti pengeluar seperti Oppo, Samsung dan Huawei sejak beberapa tahun yang lalu. Kesemua implementasi ini dilakukan secara kendiri dan ini adalah penyebab ia tidak disokong pada kesemua peranti Android. Hari ini Android 12 Beta 3 mula diberikan kepada pembangun dengan beberapa ciri terbina yang telah lama diminta oleh pengguna.

Pada Android 12, ciri melakukan tangkapan layar secara memanjang akan disokong secara terbina pada kesemua peranti yang menggunakannya. Ini bermakna bermula dengan Android 12, ciri ini akan diseragamkan seperti mana ciri Multi Windows diseragamkan sebelum ini.
Ciri putaran skrin juga ditambah baik untuk menjadi lebih pintar. Ia akan menggunakan kamera hadapan untuk melihat orientasi wajah. Apabila mengesan wajah tidak lagi menegak, skrin akan berputar untuk memaparkan kandungan pada orientasi mendatar dengan lebih pantas tanpa bergantung kepada accelerometer semata-mata. Ini adalah amat berguna bagi mereka yang gemar menonton video sambil berbaring. Tiada lagi isu skrin secara tiba-tiba berpusing tanpa disuruh kerana orientasi ia dipegang.

Penambahbaikan lain ialah sokongan pada tahap sistem untuk mengaktifkan akses kepada kamera dan mikrofon pada peranti untuk kegunaan perniagaan. Pengguna Android Enterprise kemudiannya boleh mengunci akses kepada sistem kamera dan mikrofon atas tujuan keselamatan secara menyeluruh pada peranti yang digunakan syarikat.
Google turut berkata Android 12 versi stabil dijangka akan diberikan bermula Ogos pada peranti yang menguji versi Beta sebelum pemberian versi akhir dilakukan selepas bulan tersebut. Secara tradisinya ini berlaku pada bulan September serentak dengan pelancaran peranti Pixel yang terkini.
Sumber Android Developer