Realme GT Master Edition bakal menjadi model baharu di bawah rangkaian edisi Master Edition. Ianya sudah pasti akan menampilkan kemasan lebih eksklusif yang mendapat sentuhan pereka Jepun, Naoto Fukasawa seperti kebiasaan.
Ia juga akan diperkenalkan pada 21 Julai ini dan penggunaan perkataan ‘series‘ di poster pelancaran memberi bayangan akan terdapatnya lebih daripada satu model yang bakal tiba. Salah satu daripadanya kini mula diperlihatkan secara langsung menerusi poster dan video promosi rasmi – ia dikenali sebagai Realme GT Master Exploration Edition.
Apa yang dapat dilihat, ia menunjukkan model berkenaan dalam kemasan bewarna kelabu gelap. Difahamkan, kemasannya adalah berasaskan kulit yang diinspirasikan daripada rekaan bagasi. Turut kelihatan, terdapatnya logo Realme bersama tanda tangan Naoto Fukasawa bersebelahan modul kamera – sama seperti mana yang boleh dilihat pada peranti Realme di bawah edisi Master Edition sebelum ini. Kemudian, modul kamera berbentuk segi empat bersama tri-kamera yang disusun secara menegak turut disertakan bersama-sama dengannya.
Realme GT Master Exploration Edition akan membawa skrin hadapan melengkung bersama lensa swafoto tunggal di sudut kiri atas. Kemudian, saiz bezel telefon pintar ini juga kelihatan seimbang dengan binaan dagu yang tidak begitu tebal. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi untuk kemaskini lebih lanjut.
Sumber : Realme Weibo, Digital Chat Station