Cari @ Amanz

Malaysia Airlines telah membuka tender untuk menjual kesemua enam pesawat jumbo Airbus A380-800 milik syarikat. Pesawat yang baru sahaja diterima pada tahun 2012 telah dihentikan operasinya sejajar dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 yang diumumkan pada tahun 2019 bagi menyelamatkan syarikat dari terus mencatatkan kerugian.

Pengumuman pembukaan tender muncul di LinkedIn hari ini pihak yang berminat perlu menghantar kertas cadangan sebelum 12 Ogos 2021. Selain pesawat, kesemua komponen alat ganti di dalam inventori Malaysia Airlines juga turut akan dijual.

Sebelum berhenti beroperasi, Malaysia Airlines menggunakan A380 pada laluan ke London, Seoul, Tokyo, Madinah dan Jeddah. Laluan ke Madinah dan Jeddah dikendalikan oleh Amal yang merupakan subsidiari syarikat untuk penerbangan ketika musim haji dan umrah. Selepas ini Amal akan menggunakan Airbus A330-200 untuk laluan yang sama.

Malaysai Airlines bukan syarikat pertama yang menghentikan penggunaan A380 yang tidak lagi menguntungkan kerana pengurangan jumlah penumpang dan langkah mengurangkan kos operasi. Kerana sebab yang sama Airbus menghentikan pengeluaran A380 bermula tahun ini. Perkara yang sama berlaku kepada sebuah lagi pesawat jumbo Boeing 747 yang dihentikan pengeluarannya tahun lalu.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd