Cari @ Amanz

Kebelakangan ini, jumlah kes positif wabak COVID-19 di Malaysia, khususnya di negeri-negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meningkat dengan mendadak, dimana hari ini, kes positif di seluruh Malaysia melangkaui 13,000 kes, dengan lebih 6000 kes di Selangor sahaja.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba dilaporkan baru sahaja mengumumkan bahawa untuk mempercepatkan proses vaksinasi rakyat Selangor, khususnya kawasan-kawasan yang dilihat mencatatkan jumlah kes positif yang tinggi, kerajaan pusat akan membenarkan klinik-klinik tempatan untuk memberikan suntikan vaksinasi COVID-19 kepada mana-mana rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan keatas.

Beliau mengatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada sebuah program perintis, dan bergantung kepada keberkesanannya, ia akan dilanjutkan kepada negeri-negeri lain juga. Dengan ini, ia akan menjadi lebih mudah untuk golongan tua menerima suntikan vaksinasi, dan tidak lagi perlu risau untuk bergerak ke lokasi PPV yang lebih jauh, khususnya apabila mereka tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan tersebut juga telah mengatakan bahawa Pusat Pemberian Vaksin industrial yang besar di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan juga akan dibenarkan untuk beroperasi selama 24 jam untuk memastikan bahawa mereka yang menetap di Lembah Klang dapat menerima vaksin dengan kadar segera, khususnya untuk mengurangkan kadar jangkitan wabak di lokasi-lokasi ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd